Skip to main content
Berita

Karnival Minggu Sains Negara Di Zon Sarawak

29–30 Julai 2026, Kuching – Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Sarawak berjaya membuka tirai siri jelajah pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Bumi Kenyalang! MSN 2026 Zon Sarawak telah berlangsung pada 29 hingga 30 Julai 2026 di Pusat Sains Sarawak (Sarawak Science Centre Interactive Experience – SSCiEX), Kuching, Sarawak.
Pada 29 Julai 2026, satu lagi mercu tanda penting dalam pembangunan ekosistem STI negara telah tercipta menerusi Majlis Perasmian Sarawak Science Centre Interactive Experience (SSCiEX) yang telah disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.
Manakala pada 30 Julai 2026, Majlis Peluncuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Sarawak telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD). Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI, Rakan MySains, pemain industri, Institusi Pendidikan Tinggi dan rakan-rakan strategik yang lain.
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai pengisian menarik seperti pameran STEM interaktif, demonstrasi sains, bengkel hands-on, Misi Eksplorasi Nuklear, STEM Challenge, Rehlah Sains 2026, persembahan sains, Bengkel STIQ – Jom Bina Kereta Solar, Bengkel Muallim Al-Quran dan Sains: Dari Iqra’ ke Inovasi, Bengkel Komunikasi Sains, Kuiz Trivia STIQ serta pengalaman meneroka kemudahan di Pusat Sains Sarawak (SSCiEX).
Sehingga 30 Julai 2026, Karnival MSN 2026 Zon Sarawak telah merekodkan lebih 8,000 pengunjung. Jumlah ini dijangka terus meningkat menerusi Siri Jelajah MSN 2026 Zon Sarawak yang akan diteruskan ke Meradong (3 Ogos), Bintulu (4 Ogos) dan Belaga (6 Ogos). Siri jelajah ini akan membawa pelbagai aktiviti STEM yang interaktif dan menyeronokkan kepada komuniti setempat sebagai usaha pembudayaan STI bukan sahaja di bandar-bandar utama, malah sehingga ke kawasan luar bandar agar manfaatnya dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
Karnival MSN 2026 terus membuktikan komitmen MOSTI dalam membudayakan STI secara inklusif melalui pendekatan yang mendekati masyarakat, sekali gus menyokong aspirasi melahirkan generasi celik sains, berinovasi dan berdaya saing.
Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan semua yang telah bersama-sama menjayakan Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Sarawak.
Jumpa kami di Meradong, Bintulu dan Belaga!
Skip to content