Skip to main content
Berita

Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat Negeri Sarawak dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sarawak

21 September 2023, Kota Samarahan – YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat Negeri Sarawak dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Program ini merupakan anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak.
YB Chang Lih Kang dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030. Pelan ini merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam usaha untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran STI secara besar-besaran.
Karnival MSN dianjurkan di setiap negeri untuk meraikan kepelbagaian dan keperluan setiap negeri dengan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka yang tersendiri kepada umum, khususnya kepada anak-anak negeri ini. Karnival MSN menawarkan pelbagai pengisian interaktif seperti pameran berteraskan STI di reruai pameran, demonstrasi sains, Mini Planetarium, Pencerapan Solar, Pertunjukan Sains Interaktif, Planet VR dan bual bicara yang berteraskan STI serta mengikut kesesuaian masyarakat setempat.
Sementara itu YB Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dalam ucapan aluannya berharap anak-anak Negeri Sarawak khususnya dapat memanfaatkan inisiatif Kerajaan melalui MOSTI ini khusus dalam usaha untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif, program dan aktivti serta mewujudkan pembudayaan STI secara bersepadu, seterusnya menggerakkan aktiviti kesedaran dan pembudayan STI.
Turut dianjurkan bersama adalah Malaysia Techlympics yang merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi. Ini adalah tahun kedua pelaksanaan program ini setelah dilancarkan pada tahun 2022.
Penganjuran Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sarawak ini merupakan pelaksanaan zon keempat selepas Peringkat Zon Utara, Zon Sabah dan Zon Tengah. Seramai 500 orang peserta telah berkumpul bersama-sama dan bersaing di Peringkat Zon Sarawak ini bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan November 2023 di Putrajaya. Pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan (IoT), dron, pengkodan dan robotik yang dipertandingkan di peringkat negeri dan zon. Sehingga hari ini, Malaysia Techlympics telah berjaya meraih 1.7 juta penyertaan daripada seluruh negara.
Antara enam (6) tema yang menjadi tonggak utama bagi pertandingan Malaysia Techlympics pada tahun ini adalah Teknologi Sohor, Inovasi Kreatif untuk Kesejahteraan Rakyat, Sains dan Inovasi, Aeroangkasa, Kecerdasan Buatan dan Sains Data serta Keterangkuman Malaysia Madani.
Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics dijemput untuk melayari laman web rasmi minggusainsnegara.mosti.gov.my dan home.techlympics.my.
Skip to content