Skip to main content
Berita

Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2023

6 Julai 2023, Kuala Lumpur – Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2023 melabuhkan tirainya hari ini. Sepanjang tiga hari ini, KIS 2023 telah mencatatkan penglibatan hampir 1,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang, 150 inovator dari seluruh negara dan tiga penceramah antarabangsa daripada India dan Filipina bagi melontarkan idea-idea bernas yang dapat menyokong ekosistem inovasi sosial di Malaysia. Jumlah penglibatan ini bukan sahaja memberangsangkan, malah merupakan satu pencapaian yang membanggakan dalam menghimpunkan para inovator dari seluruh negara.

YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI semasa menutup KIS 2023 merakamkan ucapan tahniag kepada agensi pelaksana di bawah MOSTI iaitu Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) atas kejayaan penganjuran KIS2023. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih jua kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas penglibatan sebagai penyumbang utama.
Pelbagai pengisian program telah dijalankan di bawah KIS 2023 seperti Cabaran Inovasi Sosial; Seminar “Road to Entrepreneurial Leadership & Sustainability”; dan Program Social Innovation Future Tech Talent (SHIFT). Melalui aktiviti ini, kita dapat melihat bagaimana pentingnya sains, teknologi dan inovasi dalam memperbaiki kehidupan serta memperkuatkan usaha dalam mempertingkatkan ekonomi negara.
YBhg. Datuk Ts. Dr. KSU juga berbesar hati dengan kesudian 3 tokoh terkemuka antarabangsa iaitu Prof. Anil K. Gupta daripada Honey Bee Network; Dr. Anamika Dey daripada Grassroots Innovations Augmentation Network (GIAN); dan Dr. Anthony Sales daripada Department of Science and Technology XI (sebutan: DOST ke-11) untuk berkongsi pengalaman, idea dan pandangan tentang bagaimana mewujudkan satu ekosistem inovasi akar umbi yang kondusif dan mampan.
Pada majlis tersebut, YBhg. Datuk Ts. Dr. KSU turut menyampaikan hadiah bagi Cabaran Inovasi Sosial 2023, Sijil Penghargaan kepada Rakan Strategik KIS 2023 dan Penyerahan Sijil Penyertaan Peserta KIS 2023.
Adalah diharapkan agar para peserta dan penggerak inovasi untuk terus mengekalkan semangat berinovasi. Inovasi sosial bukanlah sekadar satu inisiatif atau konvensyen semata-mata, tetapi merupakan satu perjalanan berterusan dalam menjadikan masyarakat lebih sejahtera, harmoni dan seimbang untuk masa hadapan.
Skip to content