Skip to main content
Berita

Konvensyen Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) 2023

15 November 2023, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menganjurkan Konvensyen Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) 2023 yang disempurnakan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Objektif pelaksanaan Konvensyen R&D&C&I 2023 adalah sebagai platform perkongsian ilmu, pertukaran maklumat, kepakaran dan amalan terbaik oleh para pembuat dasar, pakar dan penyelidik dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, Institut Penyelidikan Kerajaan (GRI), Agensi Pembiaya, wakil-wakil industri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Persatuan, Koperasi dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) serta inovator akar umbi dalam bidang R&D&C&I dengan tujuan untuk mempromosi dan menggalakkan permohonan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) MOSTI bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi yang mampan ke arah negara maju pada tahun 2030.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, isu dan cabaran berkaitan inovasi perlu ditangani, salah satunya adalah mengenai pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah dalam R&D, pengkomersialan dan inovasi (C&I) berbanding dengan beberapa negara rantau dan negara maju yang lain.
Beliau berkata, pada masa kini, sebahagian besar pembiayaan projek R&D&C&I masih bergantung kepada peruntukan Kerajaan iaitu sebanyak 70 peratus. Justeru, kerajaan mensasarkan sumbangan pembiayaan sektor swasta untuk meningkat kepada 70 peratus menjelang tahun 2030 supaya projek R&D di Malaysia lebih berdaya saing dan berimpak tinggi tanpa bergantung kepada sumber peruntukan Kerajaan semata-mata.
“Cabaran utama MOSTI adalah untuk memenuhi sasaran Ekonomi MADANI bagi mencapai peratusan perbelanjaan GERD (Perbelanjaan Dalam Negara Kasar untuk R&D) sebanyak 3.5% menjelang 2030, di mana pada masa ini menurun kepada 0.95% berbanding 1.04% pada tahun 2018.” tambahnya.
Konvensyen R&D&C&I 2023 ini dilaksanakan dalam format forum, dialog dan sesi perkongsian yang melibatkan pemegang taruh, panel pakar dan penerima dana. Di samping itu, Bahagian Dana, Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan Hasil R&D, Agensi Pembiaya dan Agensi Pelaksana dan Pemantau (APP) di bawah MOSTI turut mengadakan sesi konsultasi mengenai fasilitasi pembiayaan dan kemudahan yang ditawarkan kepada para penyelidik dari sektor awam mahupun swasta. Bukan itu sahaja, seramai 10 penerima dana R&D MOSTI yang berjaya menjalankan penyelidikan dan mengkomersialkan hasil R&D mereka turut hadir sebagai pempamer.
Dalam majlis yang sama, YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut melancarkan Sistem Dana Bersepadu (SDB) yang merupakan platform digital bagi pengurusan dana R&D MOSTI yang dibangunkan bersama oleh Bahagian Dana dan Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat.
YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi juga menyampaikan Sijil MySTI kepada 20 produk yang telah berjaya menerima penandaan logo MySTI dalam kohort pertama sempena Konvensyen R&D&C&I.
Skip to content