Skip to main content
Berita

KSU MOSTI Hadir 89th Meeting of the ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation (COSTI-89)

23 Jun 2026, Lao PDR – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi COSTI Kebangsaan Malaysia, telah menghadiri 89th Meeting of the ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation (COSTI-89) yang diadakan pada 23 Jun 2026 di Vientiane, Lao PDR. Turut hadir YBrs. Dr. Balamurugan a/l Nallamuthu, Setiausaha Bahagian Antarabangsa, MOSTI.
Mesyuarat ini telah menghimpunkan Negara-negara Anggota ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Malaysia, selaku Naib Pengerusi COSTI bagi tahun ini, telah mengadakan perbincangan secara aktif dengan mengutarakan pelbagai pandangan dan memberi maklum balas yang bernas terhadap perkara-perkara serta isu-isu yang telah dibangkitkan.
Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia juga telah membentangkan perkembangan terkini berhubung kejayaan pelaksanaan Priority Economic Deliverable (PED) 2025, iaitu inisiatif ASEAN Technology Startup Ignite, yang diterajui oleh Malaysia melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh inovasi dan keusahawanan berasaskan teknologi di seluruh ASEAN melalui program pembinaan kapasiti, sokongan khidmat nasihat perniagaan, bimbingan mentor dan kerjasama serantau. Malaysia turut mengetengahkan kejayaan pelaksanaan Startup ASEAN Portal.
Mesyuarat turut mengambil maklum akan cadangan penubuhan Startup ASEAN Digital Centre of Excellence (CoE) oleh Malaysia iaitu sebuah platform serantau yang bertujuan untuk menghubungkan syarikat pemula niaga, pelabur, pembuat dasar dan pemudah cara ekosistem dalam memupuk inovasi serta kerjasama rentas sempadan. Digital CoE ini dijangka akan dilancarkan pada November 2026.
Selain itu, Malaysia, selaku negara penyelaras bagi kerjasama ASEAN-China dalam Sains, Teknologi dan Inovasi dari tahun 2024 hingga 2027, telah membentangkan perkembangan terkini projek dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di bawah kerjasama ini.
Penyertaan aktif Malaysia dalam COSTI-89 mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memajukan kerjasama serantau, inovasi dan pertumbuhan mampan melalui sains, teknologi dan inovasi.
Skip to content