15 November 2025, Seri Kembangan – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah merasmikan Kuala Lumpur Engineering Science Fair (KLESF) yang berlangsung di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC),Mines Resort City, Seri Kembangan. Turut hadir, YBrs. Encik Shahrizal bin Shahrudin, Pengarah MASTIC, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
KLESF ini bertujuan untuk memperkukuh minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan penting bidang ini dalam kesejahteraan sosioekonomi dan pembangunan mampan negara.
Program ini juga turut menekankan penglibatan industri dalam mempromosikan pembelajaran serta laluan kerjaya berkaitan STEM kepada pelajar dan komuniti. Pada masa yang sama, KLESF menjadi platform rangkaian yang menyatukan sekolah, pendidik, industri serta sektor awam dan swasta untuk berkongsi maklumat, pengalaman, projek dan amalan terbaik dalam pendidikan sains dan matematik.
Sasaran program merangkumi pelajar dari peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi, selain guru, ibu bapa, pendidik dan profesional industri. Melalui pendekatan pembelajaran secara hands-on, KLESF melengkapkan kurikulum sekolah yang biasanya lebih berorientasikan teori. Pameran dan eksperimen interaktif yang dikendalikan oleh NGO, universiti, industri dan agensi kerajaan menawarkan pengalaman yang lebih menyeronokkan, praktikal dan mendalam. KLESF juga turut memainkan peranan penting dalam menyemai minat, bakat serta pemikiran inovatif dalam kalangan generasi muda melalui penglibatan aktif dalam aktiviti berasaskan STEM.
MOSTI juga komited untuk terus memperkasa ekosistem STEM negara melalui penganjuran program seperti KLESF, sekali gus menyemai minat, bakat serta pemikiran inovatif dalam kalangan generasi muda demi melahirkan masyarakat yang celik sains dan berdaya saing.




