13 Ogos 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon, Ketua Sekretariat Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan (PRBBP), Jabatan Perdana Menteri, bersama delegasi di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kuala Lumpur.
Hadir sama, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI. Pertemuan ini membincangkan pelaksanaan kajian rasionalisasi terhadap Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) berkaitan Kerajaan di bawah seliaan MOSTI.
Dalam sesi ini, MOSTI menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada PRBBP sepanjang proses kajian dijalankan, di samping menekankan bahawa sebarang cadangan rasionalisasi tidak seharusnya menjejaskan operasi, mandat strategik serta sumbangan CLBG terhadap pembangunan ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara.
MOSTI yakin hasil kajian yang menyeluruh akan memastikan entiti tersebut terus memberi impak positif jangka panjang kepada agenda pembangunan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.