29 Mei 2025, Putrajaya – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad telah menerima kunjungan hormat daripada Encik Curtis Johnson iaitu Pengarah Eksekutif Malaysia-American Commission on Education Exchange (MACEE). Kunjungan hormat ini bertujuan untuk merintis kerjasama dalam pembangunan modal insan untuk pemegang taruh dalam bidang sains, teknologi dan inovasi terutama sekali melibatkan pegawai-pegawai MOSTI.
Antara perkara utama yang telah dibincangkan adalah berhubung usaha untuk meningkatkan penglibatan pegawai MOSTI dalam program Fulbright dengan menyelaraskan keutamaan mengikut bidang tumpuan MOSTI seperti, bioteknologi, hidrogen, angkasa dan lain-lain. Kerjasama MOSTI dan MACEE dijangka memberi pelbagai faedah strategik kepada kedua-dua buah negara. MOSTI menyambut baik usaha MACEE dalam memperkukuh kerjasama akademik antara Malaysia dan Amerika Syarikat, serta akan terus menyokong inisiatif yang dapat memperkasa ekosistem STI negara.