Skip to main content
Berita

Kunjungan Hormat Setiausaha Eksekutif Comprehensive Nuclear- Test – Ban Treaty Organization (CTBTO)

14 Ogos 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Eksekutif 𝘊𝘰𝘮𝘱𝘳𝘦𝘩𝘦𝘯𝘴𝘪𝘷𝘦 𝘕𝘶𝘤𝘭𝘦𝘢𝘳-𝘛𝘦𝘴𝘵-𝘉𝘢𝘯 𝘛𝘳𝘦𝘢𝘵𝘺 𝘖𝘳𝘨𝘢𝘯𝘪𝘻𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 (CTBTO). Pertemuan tersebut telah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama erat yang terjalin sekian lama antara Malaysia dan CTBTO dalam memajukan objektif 𝘊𝘰𝘮𝘱𝘳𝘦𝘩𝘦𝘯𝘴𝘪𝘷𝘦 𝘕𝘶𝘤𝘭𝘦𝘢𝘳-𝘛𝘦𝘴𝘵-𝘉𝘢𝘯 𝘛𝘳𝘦𝘢𝘵𝘺 (CTBT) serta memperkukuh usaha global membanteras penyebaran senjata nuklear melalui pemerkasaan sains dan teknologi.

YB Menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada CTBTO atas komitmen berterusan dalam menyediakan fasilitasi dan sokongan teknikal kepada Malaysia melalui Pusat Data Kebangsaan Malaysia yang beroperasi di bawah Agensi Nuklear Malaysia (ANM). Penyertaan aktif Malaysia dalam 𝘐𝘯𝘵𝘦𝘳𝘯𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭 𝘔𝘰𝘯𝘪𝘵𝘰𝘳𝘪𝘯𝘨 𝘚𝘺𝘴𝘵𝘦𝘮 (IMS) dan pelaksanaan program pembinaan kapasiti telah memperkukuh keupayaan negara dalam pemantauan ujian nuklear, pembangunan teknologi pengesahan, serta analisis data seismik.
Setiausaha Eksekutif CTBTO menghargai usaha ANM dalam pengurusan Pusat Data Kebangsaan yang berkesan. Seiring dengan usaha Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap pelucutan senjata nuklear, CTBTO turut memperoleh manfaat melalui pemantauan yang dipertingkatkan di Asia Tenggara serta kepakaran serantau yang tidak ternilai dalam mentafsir kejadian, sekali gus mengukuhkan peranan penting negara dalam mempromosikan keamanan dan keselamatan global.
Kedua-dua pihak turut membincangkan peluang kerjasama pada masa hadapan, termasuk penganjuran program latihan lanjutan, bengkel teknikal bersama, serta aktiviti pembinaan kapasiti peringkat serantau yang berpotensi dianjurkan di Malaysia. YB Menteri menegaskan kesediaan Malaysia untuk berkongsi kepakaran dan memainkan peranan sebagai hab serantau bagi program latihan berkaitan CTBTO, sekali gus menyumbang kepada pencapaian objektif CTBT serta memperkukuh keamanan dan keselamatan sejagat.
Skip to content