KUNJUNGAN YB MENTERI DAN YB TIMBALAN MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI, SAINS, PERUBAHAN IKLIM & ALAM SEKITAR KE MOSTI

Selepas Pilihanraya Umum ke 14 (PRU-14), keseluruhan komponen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), komponen tenaga daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan komponen berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah disusun semula dan membentuk Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim & Alam Sekitar.

Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim & Alam Sekitar adalah bertanggungjawab untuk menerajui misi Malaysia mendepani cabaran masa depan dan meningkatkan daya saing Negara melalui sains dan teknologi.

YB Puan Yeo Bee Yin telah dilantik sebagai Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar dan YB Isnaraissah Munirah binti Majilis menyandang jawatan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar. YB Menteri dan YB Timbalan Menteri telah berkunjung ke Pejabat MOSTI di Blok C5, Kompleks C, Putrajaya selepas selesai Majlis Angkat Sumpah Anggota Kabinet Baharu pada 2 Julai 2018.

YB Menteri dan YB Timbalan Menteri disambut dan diberi taklimat ringkas oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Bin Hj. Yahaya (Ketua Setiausaha, MOSTI), YBrs. Prof. Madya. Dr. Ramzah Dambul (Timbalan Ketua Setiausaha STI, MOSTI), YBhg. Datuk Kua Abun (Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pengkomersialan, MOSTI) dan YBrs. Dr. Mohd Mokhtar Bin Tahar (Setiausaha Bahagian Kanan Perancangan Strategik, MOSTI).