13 Julai 2025, Kelantan – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melawat Limpahan Engineering Sdn. Bhd. (LESB) di Kota Bahru, Kelantan.
Lawatan ini bertujuan untuk melihat teknologi penjanaan hidrogen hijau khususnya sistem elektroliser dan sistem penjanaan hidrogen menggunakan kaedah pepejal/kimia yang digunakan dalam pembangunan teknologi “Reaktor Hiper Hidrogen” di Kg. Tekam, Johor dan Perkampungan Orang Asli Pos Tibang, Perak.
Teknologi elektroliser oleh Petronas untuk penjanaan hidrogen secara elektrolisis yang dikilangkan oleh LESB turut digunakan di Stesen Pengisian Semula Hidrogen di Darul Hana, Sarawak. LESB juga giat bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam menaiktaraf Proton Exchange Membrane (PEM) Fuel Cell LESB komited menyokong Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) ke arah Malaysia menjadi negara Ekonomi Hidrogen terkemuka menjelang 2050.
Delegasi MOSTI telah mendengar taklimat dan dibawa melawat fasiliti LESB.
Hadir sama YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi); YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains); Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza bin Harun dan Ketua Penolong Pengarah NNC, Ts. Mohd Helme bin Mohd Helan.