Skip to main content
Berita

Lawatan Kerja ke Pusat Maklumat Kuantum dan Biologi Kuantum (QIQB) Universiti Osaka

13 Mei 2025, Jepun – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan Lawatan Kerja ke Pusat Maklumat Kuantum dan Biologi Kuantum (Center for Quantum Information and Quantum Biology – QIQB), Universiti Osaka. Lawatan tersebut turut disertai oleh YBrs. Dr. Rezal Khairi bin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, NanoMalaysia Berhad (NMB).
Tujuan utama lawatan kerja ini adalah untuk membina kerjasama dan kolaborasi strategik dengan Jepun dalam usaha mempergiatkan pertukaran maklumat, teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan dalam bidang teknologi kuantum. Inisiatif ini adalah sejajar dengan perkembangan pesat teknologi kuantum serta bertujuan memastikan penglibatan aktif Malaysia dalam menerajui bidang ini di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dalam sesi lawatan ini, YBhg. Datuk Seri KSU memaklumkan bahawa Malaysia sedang giat merangka inisiatif pembangunan teknologi kuantum yang sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030. Pendekatan ini bertujuan memperkukuh keupayaan negara dalam teknologi baharu muncul dan berimpak tinggi.
Sehubungan itu, MOSTI menerusi agensinya, NanoMalaysia Berhad berhasrat membina platform kerjasama dengan QIQB berikutan kepakaran QIQB dalam bidang bahan dan pengkomputeran kuantum. Kerjasama ini mampu menyokong usaha Malaysia membangunkan inovasi teknologi kuantum untuk aplikasi merentas pelbagai sektor industri strategik negara seperti semikonduktor, pertanian, perubatan dan pengangkutan.
Skip to content