Skip to main content
Berita

Lawatan Kerja KSU MOSTI ke Kampung Tekam, Pogoh 3, Segamat, Johor

4 Disember 2023, Johor Bahru – Sesi Lawatan Tapak ke Kampung Tekam, Pogoh 3, Segamat, Johor yang merupakan lokasi kawasan desa yang dicadangkan di bawah Program Kampung Angkat MADANI MOSTI.

YAB Perdana Menteri melalui ucapan Belanjawan 2024 telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Program Kampung Angkat MADANI yang memberi tumpuan kepada melengkapkan kemudahan-kemudahan asas termasuk bekalan air, bekalan elektrik, jalan dan lampu jalan, perkhidmatan masyarakat dan akses internet di kawasan desa dan kampung terpinggir yang masih berada di bawah capaian liputan 50%.
Setelah meneliti beberapa buah lokasi kampung yang telah disenarai pendek oleh pihak Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan NanoMalaysia Berhad (NMB), lokasi yang dicadangkan adalah Kampung Tekam yang dilihat mempunyai potensi dalam pelaksanaan projek bagi Projek Telaga Tiub oleh MySA dan lampu jalan berasaskan teknologi tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) oleh NMB berikutan capaian liputan bagi sumber air dan lampu jalan di bawah 50%.
Hasil sesi lawatan dan ramah mesra bersama Ketua Kampung, Encik Hussin bin Md. Salleh dan penduduk kampung, didapati bahawa capaian liputan bagi sumber air dan lampu jalan di Kampung Tekam adalah masih di bawah 50%. Selain itu, para penduduk di lokasi yang dicadangkan oleh Ketua Kampung juga dilihat dapat menerima manfaat hasil dari pelaksanaan projek-projek tersebut dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.
Sesi lawatan yang diadakan pada hari ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Encik Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan MOSTI, pegawai kanan MOSTI, MySA, YIM dan NMB.
Skip to content