28 April 2025, Perak – Sempena Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (MEXCO-STI) Bil. 1/2025 yang julung kali diadakan di luar Lembah Klang, satu lawatan kerja telah diadakan di Makmal Analisis Terra Mineral Lab (TML), Gopeng, Perak.
Lawatan kerja ini diketuai oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan turut dihadiri oleh YB Tuan Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Perak dan YB Tuan Mohd Ridzuan bin Hashim, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Sains, Teknologi & Inovasi, Perlis dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. merangkap Pengerusi TML iaitu YBhg. Dato’ Anuar Zainal Abidin.
Terra Mineral Lab adalah sebuah makmal yang bertujuan untuk menganalisis, mengenalpasti dan menentusahkan kandungan elemen mineral, khususnya sumber mineral Non-Radioactive Rare Earth Elements (NR-REE) dan mineral-mineral lain seperti pasir silika, kaolin, batuan granit dan lain-lain lagi. TML turut menyasarkan untuk meningkatkan keupayaan makmal sedia ada ke arah penyelidikan dan pembangunan (Research & Development, R&D) mineral selaras dengan peranannya sebagai salah sebuah penggerak Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral.
.