Skip to main content
Berita

Lawatan Kerja KSU MOSTI Ke Tapak Projek Padi NMR152 Sungai Balang

21 Disember 2023, Johor – Satu lawatan tapak projek padi di Sungai Balang telah diadakan pada hari Khamis, 21 Disember 2023. Projek Padi NMR152 Sungai Balang telah bermula semasa Kembara Mahkota Johor pada tahun 2022 yang menyaksikan penglibatan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) secara langsung melalui agensinya iaitu Agensi Nuklear Malaysia (ANM) selaku penyedia benih padi berteknologi tinggi NMR152
Lawatan turun padang ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminudin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa bin Dato’ Haji Shamsudin, Pengelola Bijaya Diraja Johor selain pelbagai pihak pemegang taruh seperti Agensi Nuklear Malaysia, Agensi Inovasi Malaysia, SIRIM, Pejabat Daerah Muar, Jabatan Pertanian Johor, empat buah universiti iaitu UKM Bangi, UPM Serdang, UTHM Johor dan UTeM Melaka, Muar Living Lab dan para penduduk di Sungai Balang.
Lawatan ini bertujuan untuk melihat sendiri keadaan sebenar dan mendapatkan status terkini, input, pandangan dan syor dari semua pihak yang terlibat dengan Projek Padi NMR152 di Sungai Balang ini.
Secara keseluruhannya, projek ini telah memberi manfaat kepada para penduduk Sungai Balang dengan peningkatan hasil tuaian (yield) antara 20% hingga 50% kepada para petani yang betul-betul mengikuti prosedur operasi standard (SOP) penanaman yang ditetapkan dan penjagaan yang betul.
Adalah menjadi harapan MOSTI untuk melihat Projek Padi NMR152 di Sungai Balang, Muar Johor ini diperluaskan lagi di seluruh kawasan Negeri Johor setelah dibuat penambahbaikan ke atas sebarang kekurangan yang ada sekarang.
Antara langkah yang dikenalpasti adalah projek melalui dana SRF MOSTI serta kajian multi loction trial (MLT) dan LVT (local verification trial) yang akan dijalankan di Sungai Balang kelak. Usaha ini merupakan langkah-langkah intervensi yang bersesuaian untuk memastikan projek ini terus berjalan lancar dan sempurna, bagi manfaat penduduk Sungai Balang khususnya, dan rakyat Bangsa Johor amnya.
Skip to content