26 Jun 2024, Korea Selatan – YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan perbincangan bersama tiga agensi utama berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI) di Korea Selatan iaitu Korea Institute of Science & Technology Evaluation and Planning (KISTEP), Science Technology & Policy Institute (STEPI) dan National IT Industry Promotion Agency (NIPA).
Perbincangan berkisar mengenai struktur dan ekosistem tadbir urus dasar STI termasuk Akta S&T, foresight, strategi penilaian dan pengukuran inovasi, pembiayaan R&D dan strategi penyelarasan. MOSTI turut membincangkan peluang kolaborasi bersama KISTEP dan STEPI khususnya bagi program latihan sangkut pegawai-pegawai MOSTI ke Korea Selatan. Turut dibincangkan semasa pertemuan adalah Korea-ASEAN Digital Innovation Flagship Project (KADIF).
Hadir sama Encik Imran bin Abdullah, Setiausaha Bahagian, Bahagian Dana MOSTI, Encik Shahrizal bin Shahrudin, Pengarah Malaysian Science and Technology Information Centre (MASTIC), YBrs. Puan Hazami binti Habib, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Puan Ida Semurni binti Abdullah Ali, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).