12 Jun 2025, China – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan kerja ke Chengdu dan Hangzhou bagi menghadiri Persidangan 2nd Belt and Road Conference on Science and Technology Exchange (BRST) dan program pengukuhan kerjasama dengan institusi-institusi berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI) di Chengdu dan Hangzhou, Republik Rakyat China (RRC) dari 10-14 Jun 2025.
Persidangan BRST yang berlangsung di Chengdu pada 11 Jun 2025 kali kedua diadakan dengan bertemakan “Together for Innovation, Development for All – Jointly Building a Scientific and Technological Innovation Community for the Belt and Road” dan bertujuan memberikan pentas bagi pertukaran teknologi, pemindahan ilmu pengetahuan dan penyelarasan dasar STI antara negara-negara yang terlibat dalam kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt & Road – BRI).
Sebagai salah sebuah negara yang bekerjasama rapat dengan China melalui BRI, keterlibatan Malaysia dalam acara ini adalah signifikan bukan sahaja demi memperkasakan kerjasama STI menerusi platform pelbagai hala BRI, malah untuk menonjolkan keterlihatan Malaysia di peringkat global, di mana peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 sewajarnya dioptimumkan bagi menyumbang kepada kepesatan ekonomi nasional dan serantau.
YB Tuan Chang Lih Kang dalam ucapannya menekankan kepentingan hubungan diplomatik Malaysia-China dan kerjasama STI yang digerakkan menerusi mekanisme Pelan Tindakan Kerjasama STI Jalur dan Laluan (Belt and Road Science, Technology and Innovation Cooperation Action Plan). Melalui ucapannya lagi, YB Tuan Chang Lih Kang mengiktiraf BRI sebagai pemacu kolaborasi saintifik dan kemajuan teknologi dalam usaha memperluaskan pendigitalan, memanfaatkan potensi tenaga baharu muncul seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, bioteknologi dan teknologi hijau, dan mencapai pembangunan mampan dan inklusif.