Skip to main content
Berita

Lawatan Kerja YB Timbalan Menteri ke YSG Bioscape Sdn Bhd, Kota Kinabalu, Sabah

27 April 2026, Kota Kinabalu – YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan kerja ke YSG Bioscape Sdn Bhd di Kota Kinabalu bagi meninjau perkembangan terkini dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta operasi perniagaan syarikat tersebut.
Lawatan ini turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, Naib Presiden Kanan, Ts. Soeraya Satem Ahmad serta pasukan Industry Development Division dari Bioeconomy Corporation.
YSG Bioscape Sdn Bhd, sebuah syarikat berstatus BioNexus, mempunyai kepakaran lebih dua dekad dalam teknologi kultur tisu dan telah berjaya membangunkan klon pokok jati berkualiti tinggi melalui kolaborasi bersama CIRAD.
Syarikat ini juga mempunyai keupayaan pengeluaran makmal sehingga 1.5 hingga 2 juta anak pokok setahun, di samping memiliki koleksi germplasm jati terbesar di dunia. Pencapaian ini mencerminkan potensi besar Malaysia dalam sektor bioteknologi perhutanan.
Di Sabah, inisiatif seperti ini berupaya menyokong pembangunan industri perhutanan mampan, memperkukuh rantaian nilai bioekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Selain itu, ia turut berpotensi menjadikan Sabah sebagai hab pengeluaran bahan tanaman berkualiti di peringkat serantau.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dalam memperkasa inovasi bioteknologi serta mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan.
MOSTI komited untuk terus menyokong pembangunan teknologi tempatan agar mampu bersaing di peringkat global. Kerjasama strategik seperti ini juga akan terus diperkasa bagi memastikan pertumbuhan berterusan industri bioteknologi negara.
Skip to content