Skip to main content
Berita

Lawatan Kerja YBM MOSTI Ke Free The Seed

5 Disember 2024, Kedah – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyokong penuh kerjasama awam-swasta antara Bioeconomy Corporation dan syarikat BioNexus, Free The Seed Sdn Bhd, dalam memacu industri terbiodegradasi di Kedah melalui pemprosesan sisa jerami padi menggunakan enzim bioteknologi. Inisiatif ini menghasilkan produk pembungkusan terbiodegradasi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM60 juta mulai 2025, merangkumi negara seperti Jerman, Belanda, Jepun, dan United Kingdom.
Semasa lawatan kerja ke fasiliti syarikat Free The Seed di Gurun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tuan Chang Lih Kang berkata kini Kedah bukan sahaja merupakan pengeluar utama padi di Malaysia tetapi hab di mana sisa jerami padi diubah menjadi ’emas hijau’ menerusi aplikasi bioteknologi. Beliau menambah bahawa kerjasama ini telah berjaya mewujudkan rantaian nilai yang memberi peluang pendapatan tambahan kepada pesawah dan komuniti setempat.
“Lanjutan daripada kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Free The Seed, pesawah dari kawasan ini dijangka menjana pendapatan tambahan sebanyak RM3 juta setahun bermula tahun 2025, hasil daripada penjualan sisa jerami padi. Setakat ini, seramai 618 orang pesawah telah menyertai projek ini, dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 3,700 pesawah apabila operasi penuh dimulakan pada tahun 2025.”
Ini membuktikan potensi besar bioteknologi dalam mengubah sisa jerami padi menjadi ‘emas hijau’, yang memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan peladang, mencipta peluang pekerjaan, memacu ekonomi kitaran, dan menyokong kelestarian alam sekitar, selari dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan agenda pembangunan mampan negara.
Melalui penggunaan teknologi tempatan berasaskan biojisim, khususnya jerami padi, inisiatif ini turut berupaya menjadi ikon kredit karbon Malaysia, selaras dengan pelan hala tuju Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang digariskan oleh kerajaan Malaysia MADANI, memastikan pembangunan yang inklusif, lestari, dan berdaya saing demi kesejahteraan serta manfaat untuk seluruh rakyat.
Skip to content