25 September 2023, Selangor -Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Petronas Research Sdn Bhd (PRSB). Delegasi MOSTI di ketuai oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi diiringi oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), pegawai-pegawai kanan MOSTI dan NanoMalaysia Berhad.
Lawatan hari ini adalah untuk melihat dengan lebih dekat fasiliti teknologi penghasilan gas hidrogen di PRSB yang telah dibangunkan serta potensi kerjasama R&D antara MOSTI dan PRSB khususnya pembangunan teknologi hidrogen.
Delegasi MOSTI di sambut oleh YBhg. Datuk Bacho Pilong, Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek & Teknologi Kumpulan, PETRONAS yang mengalu-alukan kedatangan MOSTI ke PRSB. Taklimat dan Pengenalan kepada PRSB kemudiannya diberikan oleh Puan Norhayati Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif, PRSB serta taklimat tentang Teknologi Hidrogen oleh Encik Colin Patrick , Ketua Pegawai Eksekutif, Lestari H2GaaS Sdn Bhd
MOSTI mula membangunkan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (Hydrogen Economy and Technology Roadmap, HETR) sejak tahun 2021. HETR menetapkan sasaran menjadikan Malaysia sebagai antara negara termaju dalam Ekonomi Hidrogen menjelang tahun 2050 sebagai sebahagian usaha penyahkarbonan global.
MOSTI komited untuk terus berkerjasama dengan para pemegang taruh kebangsaan dan sektor industri, dalam dan luar negara.