23 November 2024, Sabah – YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini mengadakan lawatan kerja ke Pusat Sains Negara (PSN) Satelit – Taman Eko Sains bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang, Sabah.
Taman Eko Sains SK Kundasang telah dibangunkan sebagai PSN Satelit untuk menyediakan akses kepada pembelajaran STEM yang menyeronokkan. Sebanyak 14 bahan pameran interaktif berkonsepkan asas sains telah ditempatkan di lokasi ini, bagi memberi peluang kepada pelajar dan masyarakat tempatan untuk meneroka pelbagai aspek sains secara langsung.
Lawatan kerja ini turut bertujuan memberi penghargaan kepada guru-guru SK Kundasang atas usaha gigih mereka dalam memastikan PSN Satelit ini beroperasi dengan efektif. Semasa lawatan kerja ini, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, menyerahkan plak penghargaan dan kit pendidikan STEM kepada Puan Johana Esan Kong, Guru Besar SK Kundasang.
Kit Pendidikan STEM yang disumbangkan oleh Pusat Sains Negara (PSN) merupakan inisiatif berinovasi untuk memperkasa pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) secara kreatif dan interaktif. Kit ini direka khas untuk pelajar sekolah sebagai alat bantu belajar yang menggalakkan eksplorasi kendiri, penyelesaian masalah, dan pemikiran kritis.
Bersempena lawatan ni, PSN juga mengadakan aktiviti STEM Challenge, Bengkel Paperplane Launcher dan sesi perkongsian bersama YBrs. Dr. Jurry Foo, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Kemajuan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS). Sesi perkongsian ini merupakan Program STI 1003 yang menghimpunkan 100 orang saintis tempatan ke 100 buah sekolah.
Hadir sama, YBrs. Encik Mohammad Fuad Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara; Encik Ruslan Madisal, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan YBrs. Puan Barizah binti Mohamad Kahar, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau.