Warning: Trying to access array offset on value of type bool in /home/html/wp-content/plugins/refresh-post-page-wud/refresh-post-page-wud.php on line 77
Skip to main content
Berita

Lima (5) Hospital Dijadikan Sebagai Hab Teknologi Kesihatan Bakal Diperkukuh Dengan Kluster Integrasi Penjagaan Kesihatan Di Mranti Park

2 September 2022, Bukit Jalil – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) hari ini mengumumkan bahawa lima (5) buah hospital telah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di negara ini.

Pelaksanaan Hab Teknologi Kesihatan NTIS ini dicadangkan di tiga (3) lokasi dalam bandar, iaitu di Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara dan Hospital Tunku Azizah, iaitu Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kuala Lumpur. Ketiga-tiga lokasi ini dipilih atas kesediaan infrastruktur teknologi, tenaga mahir, integrasi dengan teknologi semasa seperti internet dan 5G, perkakasan dan pemahaman teknologi terkini. Dua (2) lokasi di luar bandar iaitu Hospital Bera di Pahang dan Hospital Rembau juga telah dikenal pasti bagi pengujian teknologi seperti robot, internet kebendaan perubatan, dan kemudahan 4G/5G.

Kelima-lima lokasi ini akan dikenali sebagai pusat sehenti bagi sektor kesihatan untuk mencungkil potensi bagi menghadapi cabaran sektor kesihatan yang semakin meningkat di Malaysia, menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan berkualiti tinggi untuk negara, dengan teknologi dan inovasi.

Hab Teknologi Kesihatan NTIS, merupakan satu inisiatif MOSTI, dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) selaku Sekretariat Utama. Hab ini akan menangani cabaran-cabaran kritikal sektor perubatan dan penjagaan kesihatan di Malaysia melalui pendekatan inovatif. Industri penjagaan kesihatan Malaysia dijangka menyumbang sebanyak RM154 bilion kepada pertumbuhan ekonomi menjelang 2027.

Bagi menjayakan usaha ini, kelima-lima Hab Teknologi Kesihatan ini akan mendapat akses kepada tapak ujian, pendanaan dan fasilitasi pengawalseliaan. Para inovator boleh membangunkan penyelesaian teknologi yang bakal merevolusikan ekosistem inovasi terbuka dalam mewujudkan padanan usaha sama antara orang awam dengan sektor swasta. Dengan akses kepada ekosistem inovasi yang kondusif dan bersepadu, kadar pengkomersialan dapat dipesatkan.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba juga mengumumkan bahawa Hab ini akan disokong oleh Kluster Penjagaan Kesihatan Bersepadu MRANTI seluas 10 ekar yang akan mempercepatkan penerokaan dan pembangunan kerja dalam penjagaan kesihatan dan teknologi perubatan, menawarkan program pembangunan kapasiti, makmal dan kemudahan penyelidikan untuk membuat ujian tegasan terhadap idea, prototaip, aplikasi dan pelbagai inovasi yang berkaitan.

MRANTI Park menyediakan ruang bagi membolehkan para inovator mencipta, bereksperimen dan merealisasikan idea melalui penggunaan teknologi, peralatan dan fasiliti 4IR dalam persekitaran langsung.

Skip to content