12 November 2024, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah berjaya meraih Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik di bawah RM 1 Billion (Tempat Ketiga) dan Anugerah Pengurusan IBS Terbaik di bawah RM 1 Billion (Tempat Ketiga) di Majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) Tahun 2024 yang dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah hadir menerima Anugerah yang disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN).
APN Tahun 2024 merupakan kesinambungan inisiatif untuk mengiktiraf usaha, komitmen serta kejayaan Kementerian/ Jabatan/ Agensi dalam aspek pengurusan program/projek pembangunan negara. APN juga menjadi penanda aras dalam memastikan pembangunan program/ projek Kerajaan yang dibiayai menerusi sumber wang awam dilaksanakan mengikut prinsip amalan tatakelola, memberi nilai faedah yang terbaik dan memberi tumpuan kepada pencapaian keberhasilan bagi memenuhi keperluan kumpulan sasar seterusnya meningkatkan prestasi keseluruhan pencapaian Rancangan Pembangunan Lima Tahun.
Syabas dan tahniah kepada seluruh warga MOSTI / Jabatan/ Agensi khususnya Bahagian Pembangunan yang sentiasa komited dalam memastikan prestasi perbelanjaan dan tatakelola program/projek pembangunan ditadbir urus dengan baik selaras dengan hasrat kerajaan merealisasikan Malaysia MADANI bagi kemajuan negara.