Skip to main content
Berita

MAJLIS APRESIASI MOSTI 2014

By 2014-06-06Disember 14th, 2020No Comments

UKK_8883

 

PUTRAJAYA, 5 Jun 2014 – YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah berbesar hati menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)  kepada 144 orang dari pelbagai skim perkhidmatan dan gred jawatan di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Jabatan/agensi yang cemerlang dan berdedikasi dalam  Majlis Apresiasi MOSTI 2014  di Dewan A, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Penghargaan turut diberikan kepada enam (6) orang pegawai yang telah bersara pada tahun 2013/2014 bagi mengenang khidmat bakti mereka sepanjang berkhidmat dengan MOSTI dan perkhidmatan awam.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Dr. Ewon Ebin menyeru pegawai-pegawai MOSTI melengkapi diri dengan ilmu, kemahiran dan kebolehan tertentu, bertunjangkan kepada lima kriteria tiang seri negara iaitu berilmu, kebolehpercayaan, budaya amalan kerja terbaik, semangat patriotik dan budaya keberhasilan yang berteraskan hasil atau ‘outcome based’.

Pernyataan ini bertepatan dengan tema Penjawat Awam: Tiang Seri Negara yang dipilih bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014, 1 Mei 2014 lalu. “Penjawat awam juga perlu menerima realiti zaman berubah dengan pantas yang memerlukan kita melakukan transformasi untuk memastikan peranan kita terus relevan dalam arus pembangunan”, menurut beliau lagi.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Dr. Rosli Mohamed, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapan aluannya mengharapkan warga MOSTI memberi sokongan kepada dasar Transformasi Perkhidmatan Awam yang  berpaksikan kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik kepada rakyat. Dalam usaha menyokong hasrat kerajaan melakukan transformasi perkhidmatan awam, Dato’ Dr. Rosli menjelaskan bahawa, MOSTI sedang menyediakan Program Transformasi MOSTI sebagai inisiatif stategik dan komprehensif bagi  memacu MOSTI ke arah memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang.

Dalam majlis yang sama, turut diacarakan ialah penyerahan sijil pengiktirafan antarabangsa daripada American Society of Crime Laboratory Directors (ASCLD)/Laboratory Accreditation Board (LAB) kepada dua buah makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM) iaitu Makmal Cawangan Negeri Pahang dan Makmal Cawangan Negeri Johor. Makmal JKM merupakan makmal forensik yang pertama di Asia yang menerima akreditasi ASCLD/LAB International iaitu pada tahun 2005 yang membuktikan perkhidmatan sains forensik  JKM memenuhi standard antarabangsa dan setanding dengan makmal-makmal antarabangsa. Sehingga kini semua makmal JKM (kecuali makmal-makmal cawangan Kedah/Perlis, Kelantan dan Sibu, Sarawak) telah mendapat pengiktirafan tersebut.