29 November 2025, Bangi – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah merasmikan Majlis Makan Malam Gred Sains, Penyelidikan dan Pembangunan (C&Q) CUEPACS Tahun 2025 di Hotel Tenera Bangi.
Majlis yang berlangsung dengan penuh meriah diadakan sebagai platform menghargai sumbangan para pegawai sains yang terus komited memacu inovasi dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.
Majlis ini bukan sahaja mengiktiraf peranan penting warga C&Q dalam pembangunan negara, malah memperkukuh jaringan profesional serta menyemarakkan semangat kolaborasi merentas agensi dalam mengangkat ekosistem STI Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Penganjuran ini juga mempererat hubungan warga kerja C&Q sambil meraikan pencapaian bersama dalam memastikan bidang sains, teknologi, penyelidikan dan pembangunan terus menjadi nadi kepada kemajuan Malaysia.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Dr. Haji Adnan bin Mad, Presiden CUEPACS, YBrs. Puan Salmah binti Abd Murad, Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. En. Maliki bin Omar, Naib Presiden Gred Sains, Penyelidikan dan Pembangunan CUEPACS serta pegawai Skim Sains, Penyelidikan dan Pembangunan CUEPACS.




