16 Mac 20225, Sabah – Yayasan Inovasi Malaysia yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh budaya sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) di peringkat komuniti dengan pelancaran Ruang Daya Cipta (RDC) Lahad Datu, Sabah yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
RDC Lahad Datu merupakan yang ke-4 di Sabah selepas Kota Kinabalu, Keningau dan Sandakan. Penghargaan juga diberikan kepada Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) atas kesudian menjadi tuan rumah bagi RDC Lahad Datu, sekali gus memperkukuh ekosistem inovasi sosial di daerah ini.
RDC adalah inisiatif strategik MOSTI yang dilaksanakan oleh YIM untuk membudayakan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) di peringkat komuniti. Sehingga kini, sebanyak 20 RDC telah dibangunkan di seluruh negara, dengan lebih 11,000 peserta mengikuti 482 modul latihan dan lebih 13,500 pengunjung menghadiri program RDC.
RDC Lahad Datu dijangka memainkan peranan penting dalam memperkasa keupayaan masyarakat tempatan melalui pelbagai latihan berteraskan teknologi seperti percetakan 3D, robotik dan realiti maya.
Penubuhan RDC Lahad Datu amat signifikan dalam merapatkan jurang digital dan memperkasa ekonomi komuniti setempat, khususnya dalam melahirkan lebih ramai inovator dan usahawan teknologi dari luar bandar. RDC juga selaras dengan aspirasi Dasar Inovasi Sosial yang menekankan konsep “Daripada Masyarakat, Untuk Masyarakat”.
Turut diadakan adalah Sesi Penyerahan Produk Inovasi di bawah Program MaGRIs/MyIS Akar Umbi 2023 iaitu Coconut Patty Burger yang telah dihasilkan oleh Encik Joardy Mardeko dari Kinabatangan.
Diharapkan RDC Lahad Datu dapat menjadi pusat kecemerlangan inovasi sosial yang melahirkan lebih ramai pencipta dan usahawan teknologi yang mampu memberikan impak positif kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat setempat.