22 Julai 2024, Putrajaya – Malaysia perlu membina kapasiti, keupayaan dan kecekapan generasi baharu, dimana ianya penting untuk memupuk mereka dari usia muda dengan asas yang kukuh dalam bidang sains dan teknologi. Usaha ini akan membentuk mereka menjadi bakat yang mampu memimpin negara ke era kecemerlangan teknologi yang harmoni seiring dengan pembangunan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal berkata, “MOSTI memperjuangkan pelbagai inisiatif dan program yang direka untuk mengarusperdanakan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Melalui usaha bersama, MOSTI berharap dapat menangani isu kekurangan minat dalam bidang berkaitan sains yang merupakan punca utama pendaftaran rendah dalam bidang STEM oleh 53.1% responden kajian Kesedaran Awam mengenai STI Malaysia 2022.”
Beliau ditemui semasa majlis pelepasan pemenang National Science Challenge (NSC) 2023 bagi lawatan sambil belajar mereka ke 8th Belt dan Road Teenager Maker Camp & Teacher Workshop di Kunming, China. Pemenang bagi NSC 2023 ialah Kolej Yayasan Saad.
MOSTI, sebagai contoh, telah menganjurkan Minggu Sains Negara sejak 2018. MSN dirangka bagi melengkapkan kurikulum pendidikan sedia ada dengan aktiviti luar bilik darjah dan program yang lebih interaktif. Pada tahun 2023, MSN telah menarik hampir 600,000 peserta dalam sesi dalam talian dan fizikal.
“Di bawah payung MSN, saya menghargai Akademi Sains Malaysia (ASM) atas usaha berterusan mereka dalam memupuk dan membangunkan bakat STEM melalui program National Science Challenge. Sepanjang 19 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1999, NSC telah menjadi salah satu pertandingan sains utama untuk pelajar sekolah menengah di Malaysia. Pada tahun 2023, penyertaan NSC telah merekodkan pencapaian penglibatan lebih daripada 9,000 pasukan dengan hampir 30,000 pelajar sekolah menengah telah terlibat,” tambah YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal.
Mengulas mengenai majlis pelepasan tersebut, Profesor Dr Norsaadah Abd Rahman, Setiausaha Agung ASM berkata, “Kami berharap interaksi pemenang NSC 2023 bersama kelompok rakan sebaya dan pakar antarabangsa dapat meningkatkan lagi pemahaman dan penghargaan mereka terhadap sains dan teknologi. ASM berharap mereka boleh merakam dan berkongsi pengalaman mereka dengan khalayak ramai dan rakan sebaya mereka. Kisah mereka akan menjadi inspirasi dan motivasi kepada individu lain, seterusnya menggalakkan mereka untuk menyusun perjalanan mereka menerusi dunia STEM.”
Semasa lawatan ke Kunming, China, pemenang NSC 2023 daripada Kolej Yayasan Saad, Ayra Alisha Mohd Affandi, Jovani Johari dan Maryam Zahra Faisal, akan berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti sains dan teknologi, termasuk seminar oleh ahli akademik dan pakar serta lawatan ke universiti, institut penyelidikan saintifik, dan muzium semula jadi. Selain itu, terdapat juga aktiviti yang memberi tumpuan kepada pertukaran saintifik dan kemanusiaan, seperti meneroka asal usul kehidupan dan warisan budaya yang berharga.