Skip to main content
Berita

Majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia dan Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2023

17 Oktober 2023, Kuala Lumpur – Kesiapsiagaan negara mengharungi era pasca normal mesti dipertingkatkan, di mana pemikiran masa hadapan perlu diarusperdanakan. Justeru, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri menyarankan supaya beberapa agensi yang bertindak sebagai badan pemikir negara untuk bersatu di bawah Perikatan Badan Pemikir Negara bagi memberikan input yang lebih menyeluruh berpaksikan pemikiran masa hadapan.
Berucap di Majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia dan Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2023, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, “Era pasca normal kini dipenuhi dengan unsur ketidaktentuan hasil daripada kompleksiti, pergolakan serta percanggahan. Perubahan berlaku dengan cepat searus dengan ledakan teknologi serta kemunculan krisis-krisis baru yang mengubah pandangan dunia. Kita tidak lagi boleh berdiam diri dalam rentak lama yang akan merencatkan pertumbuhan negara kita.”
“Menerusi Perikatan Badan Pemikir Negara, ini boleh membantu Kerajaan Perpaduan menghadapi era ketidakpastian terutamanya dalam menangani arus perkembangan teknologi yang bertukar terlalu pantas, cabaran seharian dan kelangsungan hidup masyarakat yang bertambah kompleks dan merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar,” kata YAB Perdana Menteri. Teks ucapan beliau dibacakan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Ketika ini beberapa badan pemikir negara terdiri daripada antaranya Akademi Sains Malaysia (ASM) yang berfokus kepada analisis polisi, pengukuhan ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) serta pembangunan bakat STEM, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) yang membina kapasiti teknologi tinggi dan ekosistem teknologi tinggi Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang menyumbang kepada pemahaman kemanusiaan dan agama, mengekalkan kesucian ajaran Islam tanpa perbincangan retorik atau penyimpangan serta Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), dikhaskan untuk penyelidikan ekonomi, kewangan dan perniagaan.
Selain itu terdapat juga Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES), memfokuskan kajiannya pada isu-isu belia, menyelidik ubungannya dengan perubahan di peringkat nasional dan global; Institut Integriti Malaysia (IIM), fokus pada meningkatkan integriti dan tatakelola dalam sektor awam dan swasta untuk membantu Malaysia mencapai reputasi integriti yang kukuh, bebas dari rasuah dan Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), yang memberi tumpuan kepada dasar antarabangsa, kajian keselamatan, ekonomi, pembinaan negara, dasar sosial, teknologi, inovasi dan kajian alam sekitar.
Pada majlis sama, Penganugerahan Felo ASM telah diberikan kepada 35 Felo baharu ASM bagi tahun 2023. Kesemua mereka terdiri daripada saintis, jurutera dan pakar teknologi terkemuka negara. Pelantikan sebagai Felo baharu ASM sekaligus melayakkan individu berkenaan menggunakan gelaran “Fellow of the Academy of Sciences Malaysia” atau singkatan “FASc” selepas nama mereka. Ini merupakan pengiktirafan sains tertinggi negara melalui Akta Akademi Sains Malaysia 1994.
Terdahulu, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains, Teknologi, Sains dan Inovasi telah menyerahkan sijil pengiktirafan kepada 30 Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2023. TRSM adalah inisiatif ASM bagi mengiktiraf saintis penyelidik Malaysia yang aktif dalam aktiviti penyelidikan dan mempunyai sekurang-kurangnya 10 tahun sumbangan terkumpul dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia, Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Sains pasca normal mampu membuka peluang baharu untuk menyelesaikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara kita. Cabaran pasca normal perlu ditangani dengan solusi yang lebih berimbang dan saksama. Solusi tersebut tidak lagi berpaksikan teknologi (technology-centric), tetapi serasi dan mesra kepada keperluan masyarakat (humancentric) serta keperluan manusia sejagat (humanity-centric).”
Pemilihan Felo dan TRSM adalah mewakili individu terbaik di seluruh negara dalam lapan kumpulan disiplin iaitu Sains Perubatan dan Kesihatan; Sains Kejuruteraan; Sains Kimia; Sains Biologi, Pertanian dan Alam Sekitar; Matematik, Fizik dan Sains Bumi; Teknologi Maklumat dan Sains Komputer; Pembangunan Sains & Teknologi dan Industri; serta Sains Sosial dan Kemanusiaan. Sehingga kini, ASM mempunyai 482 Felo yang terdiri daripada 28 Felo Kanan, 454 Felo Biasa dan 272 TRSM.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah YBhg. Dato’ Ts Dr Hj Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBrs. Puan Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif ASM.
Senarai Felo ASM dan TRSM 2023 boleh diakses menerusi laman web ini: https://www.akademisains.gov.my/experts/.
Skip to content