14 Oktober 2025, Kelantan – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Karnival Penyelidikan dan Inovasi (CRI 2025) serta Karnival STEM Kebangsaan (STEM 2025) bersempena Festival of IDEA @ Kelantan 2025, anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa penganjuran program seperti ini menjadi wadah penting yang menghimpunkan pelajar, mahasiswa, komuniti dan industri bagi mencipta penyelesaian inovatif serta menonjolkan daya cipta anak tempatan. Beliau turut menyatakan bahawa inisiatif seumpama ini memperkukuh ekosistem inovasi negara dengan membuktikan kemampuan universiti menterjemah ilmu kepada impak sebenar terhadap masyarakat dan ekonomi. Ia juga mencerminkan peranan UMK sebagai Universiti Keusahawanan Malaysia dalam melahirkan usahawan dan inovator berdaya saing.
Turut hadir memeriahkan program adalah YBhg. Dato’ Profesor Engineer Ts. Dr Arham bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan, YBrs. Profesor Dr. Mohamad bin Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, YBrs. Profesor Dr. Huzili b Hussein, Timbalan Naib Canselor ( Akademik dan Antarabangsa) UMK, YBrs. Encik Abdullah bin Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI.
Bagi MOSTI, penganjuran FOI selaras dengan usaha merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN). Antara inisiatif sokongan termasuk National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), Program MySTI, NICE Expo, dan BioInnovation Launchpad yang mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan.
Melalui Belanjawan 2026, kerajaan turut memperkukuh agenda inovasi dengan menubuhkan Dana Nasional Syarikat Terbitan bernilai RM10 juta bagi menyokong penubuhan spin-off companies universiti serta memberi ruang kepada pensyarah untuk mengkomersialkan hasil inovasi mereka.
MOSTI juga memberi tumpuan kepada pembangunan bakat masa depan melalui Malaysia Techlympics dan Minggu Sains Negara (MSN) bagi memupuk minat terhadap STEM di seluruh negara.
Festival ini membuktikan bahawa apabila universiti, kerajaan dan masyarakat berganding bahu, inovasi mampu menjadi gerakan rakyat yang membawa perubahan nyata dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang atas pencapaian cemerlang dan sumbangan dalam memperkasa inovasi.