Skip to main content
Berita

Majlis Penyampaian Hadiah Ke-33 Malaysia Toray Science Foundation (MTSF)

3 November 2026, Kuala Lumpur – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Ke-33 Malaysia Toray Science Foundation (MTSF) yang berlangsung di InterContinental Hotel, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Malaysia telah mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tangga ke-34 dunia dan tempat kedua dalam kalangan ekonomi berpendapatan menengah atas menerusi Indeks Inovasi Global (GII) 2026, dengan skor inovasi meningkat kepada 41.8 mata.
Pencapaian ini perlu terus diperkukuh melalui pembangunan ekosistem bakat yang berdaya saing, khususnya dalam bidang strategik seperti Kecerdasan Buatan (AI), bioteknologi, semikonduktor termaju dan tenaga bersih bagi memastikan negara bersedia mendepani landskap teknologi masa hadapan.
Dalam hal ini, MOSTI terus memberikan keutamaan kepada usaha mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D). Menerusi Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS), sebanyak 101 teknologi telah disokong dengan nilai pengkomersialan berjumlah RM171.8 juta. Sementara itu, sebanyak 963 produk yang memperoleh pensijilan di bawah program MySTI telah menyumbang kepada perolehan kerajaan bernilai RM86 juta.
YB Menteri turut menegaskan bahawa sektor industri perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai pelabur dan rakan strategik bagi membantu produk penyelidikan tempatan menembusi pasaran global. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Toray Industries dan MTSF atas komitmen berterusan dalam menyokong penyelidikan tempatan demi memperkukuh kedaulatan teknologi negara.
Turut hadir, YBrs. Encik Noriyuki Shikata, Duta Besar Jepun ke Malaysia; YBhg. Dato’ (Dr.) Akihiro Nikkaku, Pengerusi Toray Industries, Inc., Jepun; dan YM Academician Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen, Pengerusi Malaysia Toray Science Foundation (MTSF).
Skip to content