Skip to main content
Berita

Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Hybrid Power System and Desalination bagi Menghasilkan Air Bersih kepada Komuniti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semporna

24 September 2023, Semporna – YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Hybrid Power System and Desalination bagi Menghasilkan Air Bersih kepada Komuniti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semporna di Pulau Sebangkat, Semporna, Sabah.
Projek yang mendapat sentuhan kepakaran SIRIM Berhad ini juga telah disambut baik oleh komuniti nelayan dari Daerah Semporna yang berdepan isu bekalan air mentah selain dapat meningkatkan kualiti kehidupan dan produktiviti demi kelangsungan hidup. Selain itu, bebanan kos air bersih yang tinggi ditanggung oleh penduduk sebelum ini telah dapat dikurangkan dengan penjimatan RM60 untuk setiap penduduk di mana komuniti tidak perlu lagi ke Pekan Semporna untuk membeli air seterusnya dapat memudahkan urusan harian penduduk.
YB Datuk Arthur Joseph Kurup dalam ucapannya berkata, “Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited memberi galakan dan sokongan kepada pengaplikasian hasil inovasi dan R&D tempatan supaya digunakan oleh masyarakat secara inklusif, terutama dalam membantu meningkatkan pendapatan dalam kalangan B40 dan kesejahteraan yang lebih terangkum.”
Selain membekalkan air bersih, spill-over impact hasil daripada pelaksanaan projek ini kepada penduduk Pulau Sebangkat adalah pewujudan perusahaan penternakan tanaman rumpai laut dan pembinaan pusat peranginan berdaya saing yang telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Ts. Datuk Dr. Hj. Aminuddin Hasim, Ketua Setiausaha MOSTI; YBhg. Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar Mohamad Tawi, Pengerusi Kumpulan SIRIM Berhad; YBrs. Encik Alexander Liew, Pegawai Daerah Semporna; DCP Victor Sanjos, Komander Eastern Command (KEC), ESSCOM dan Encik Salleh bin Hj. Abdul Salleh, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Semporna.
Pengerusi Kumpulan SIRIM Berhad, YBhg. Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata, melalui pembangunan teknologi penyahgaraman ini masalah dan bebanan yang dilalui oleh penduduk setempat dapat dikurangkan.
“Pelaksanaan sistem teknologi penyahgaraman ini sesuai digunakan di pulau ataupun di kawasan pendalaman yang tiada bekalan air bersih dan bekalan elektrik kerana ia berasaskan sumber tenaga diperbaharui yang bercirikan stand-alone, tanpa bergantung kepada sumber tenaga daripada grid dan boleh beroperasi menggunakan sistem bekalan tenaga sedia ada.” katanya.
Sistem berasaskan teknologi hijau ini dapat mengurangkan kesan gas CO2 ke alam sekitar dan seterusnya mengurangkan pemanasan global. Selain itu, teknologi ini juga dapat dijadikan alternatif sumber air mentah negara pada masa depan dan membantu menangani krisis bekalan air bersih dalam jangka panjang.
Delegasi telah dibawa melawat projek Pusat Hybrid Power System and Desalination, disusuli dengan lawatan sekitar bagi melihat akiviti komuniti setempat. Taklimat projek telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Rohaya Binti Md Zin daripada SIRIM Berhad selaku Ketua Projek.
Projek ini telah mendapat suntikan dana Malaysia Social Innovation (MySI) pada tahun 2019 dan selesai dibangunkan pada tahun 2021.Untuk maklumat lanjut mengenai MyIS Komuniti dijemput untuk melayari laman web rasmi myiskomuniti.innomap.my.
Skip to content