Skip to main content
Berita

Majlis Perasmian Kembara Sains Borneo Tahun 2024 (KSB 2024)

2 ogos 2024, Sabah – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membawa pengalaman pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pameran interaktif dan aktiviti sains yang menyeronokkan bagi memperkasa agenda STEM negara.
Berucap di Majlis Perasmian Kembara Sains Borneo Tahun 2024 (KSB 2024), YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan bahawa MOSTI sentiasa melaksanakan pelbagai program dan inisiatif berteraskan rangka kerja Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021 – 2030 bagi memperkukuh dan memantap peranan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) sebagai asas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Penganjuran KSB 2024 di bawah inisiatif Minggu Sains Negara (MSN), MOSTI melalui Pusat Sains Negara (PSN) membawakan pengalaman pembelajaran sains bukan formal yang menyeronokkan khusus untuk komuniti di Sabah dan Sarawak. KSB 2024 dianjurkan secara bersama oleh PSN, MOSTI dengan kerjasama padu rakan-rakan strategik yang terdiri daripada agensi Kerajaan dan swasta serta rakan penaja utama program, iaitu Hibiscus Petroleum Berhad.
Kerjasama strategik antara Pusat Sains Negara dan Hibiscus Petroleum Berhad mencerminkan dedikasi dan komitmen sektor swasta dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi, dan inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat Malaysia.
KSB 2024 akan menjelajah ke sepuluh (10) daerah di Sabah bermula di Lahad Datu melalui Kinabatangan dan Ranau dan berakhir di Kota Kinabalu. Selepas itu, KSB 2024 akan meneruskan pengembaraan ke lima (5) buah daerah di Sarawak bermula di Miri dan berakhir di Kuching. Pengembaraan ini melibatkan lebih 20 sekolah terpilih dan beberapa sekolah lain sebagai lokasi persinggahan dengan anggaran peserta yang menerima manfaat adalah seramai 15,000 orang.
PSN akan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan Hands On, Minds On, Hearts On selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains bukan formal kepada masyarakat. Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang penjelajahan KSB 2024 adalah sesi Ceritera Sebalik Radas daripada saintis-saintis terkenal, Kinect Sports, Drone Challenge, Demonstrasi Sains, Let’s Xperiment, STEM Challenge, Mini Planetarium, Planet Virtual Reality dan banyak lagi. PSN juga akan mengadakan program sampingan ke sekolah-sekolah terpilih di lokasi KSB 2024.
Majlis pelancaran KSB 2024 turut dihadiri oleh YBrs. Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YB Datuk Mohd. Hanafiah Mohd Kassim, Setiausaha Tetap, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YBrs. Encik Mohammad Fuad Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara dan YBrs. Encik Zainul Rahim Mohd Zain, Pengerusi Hibiscus Petroleum Berhad.
Skip to content