30 September 2023, Persiangan – Kembara Sains Borneo (KSB) anjuran Pusat Sains Negara (PSN) dan Akademi Sains Malaysia menerima sambutan hangat dari masyarakat Sabah dengan mencatatkan bilangan pengunjung melebihi sasaran yang telah ditetapkan.
Berucap di Majlis Perasmian Penutup KSB Siri Dua Tahun 2023, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, seramai 19,408 komuniti telah terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dibawakan dalam KSB di Kimanis dan Kalabakan termasuklah aktiviti-aktiviti sampingan yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah sekitar Parlimen Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan sehingga 27 September 2023.
Katanya lagi, di KSB Siri 2 Pensiangan yang diadakan bermula semalam, kita telah merekodkan sejumlah 3,000 pengunjung pada hari pertama menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 22,408 pengunjung. Jumlah ini telah berjaya melepasi sasaran yang telah kita tetapkan sebanyak 10 ribu pengunjung.
Menyifatkan KSB Siri 2 yang dianjurkan PSN sebagai satu kejayaan, beliau percaya jumlah keseluruhan pengunjung ini akan berlipat kali ganda di sepanjang berbaki dua (2) hari lagi pelaksanaan program KSB Siri 2 Parlimen Pensiangan.
“Secara umumnya, kita dapat melihat sambutan yang amat baik daripada komuniti di setiap lokasi KSB terutamanya komuniti pedalaman Sabah. Saya yakin dengan data-data dan maklum balas yang kita terima daripada para pengunjung, program jangkau luar seperti KSB dapat kita pertimbangkan sebagai program berkala yang wajar dilaksanakan bagi memastikan aspek pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dilaksanakan secara menyeluruh.”
Menurut Pengarah Pusat Sains Negara, Puan Mismah Jimbun, “Bertemakan Sains Itu Menyeronokkan, PSN telah membawakan pengalaman sesebuah Pusat Sains kepada komuniti setempat di tiga lokasi terpilih di Sabah iaitu Kimanis (15-17 September 2023), Kalabakan (22-24 September 2023) dan Pensiangan (29 September – 1 Oktober 2023).
PSN menawarkan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan hands on, minds on, hearts on selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains tidak formal berkonsepkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat dan penyertaan adalah percuma kepada semua.”
Hadir sama, Senator Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan; Ahli Undangan Negeri Nabawan, YB Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin; Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim; Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik MOSTI, Dr. Noraisah Spahat; Ketua Eksekutif Institute For Development Studies (Sabah) Datuk Ts. Ramzah Dambul; dan Encik Peter Jiton, Pegawai Daerah Nabawan.