Skip to main content
Berita

Majlis Perhimpunan Bulanan Jun 2026 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

24 Jun 2026, Putrajaya – Majlis Perhimpunan Bulanan Jun 2026 peringkat MOSTI telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Atrium Peterana MOSTI hari ini. Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menegaskan semangat penghayatan Maal Hijrah menuntut warga MOSTI untuk berhijrah kepada pendekatan kerja yang lebih inovatif, berasaskan data, serta berorientasikan penyelesaian.
Beliau turut berkongsi berita gembira mengenai kedudukan daya saing negara ke tangga ke-15 dunia dalam _World Competitiveness Index_ berbanding tangga ke-23 pada tahun lalu, hasil reformasi ekonomi, kestabilan politik dan sumbangan seluruh warga kementerian dan Kerajaan MADANI.
Beliau juga menekankan bahawa pembangunan teknologi kini tidak boleh dilihat dari sudut teknikal semata-mata, sebaliknya perlu dipandu oleh nilai kemanusiaan bagi menyelesaikan cabaran harian rakyat seperti kos sara hidup, keterjaminan makanan dan kelestarian alam sekitar. Sehubungan itu, kejayaan sebenar penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu diukur melalui keberkesanan hasil kajian yang diterjemahkan kepada produk, perkhidmatan, serta penyelesaian yang memberi impak nyata, bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata.
Pada akhir ucapan, beliau menyeru seluruh warga MOSTI agar sentiasa tangkas, memperkukuh sinergi antara jabatan, serta mempererat kolaborasi bersama pihak industri, akademia, dan komuniti. Langkah ini penting bagi memastikan kementerian terus bersedia menghadapi persaingan global yang semakin sengit, sekaligus mempercepat matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi yang maju dan mampan.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Ruziah bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) MOSTI, YBrs. Puan Norsham bt Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Encik Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Setiausaha-setiausaha Bahagian serta warga MOSTI.
Skip to content