Skip to main content
Berita

Malaysia Menyertai Program 5 Year Legacy Ekspo Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2020 Dubai

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba mengumumkan bahawa Malaysia menyertai program 5 Year Legacy Ekspo 2020 Dubai kerajaan UAE, di mana Pavilion Malaysia akan dikekalkan dan digunakan bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Pavilion Malaysia akan dijenamakan sebagai hab teknologi dan inovasi Malaysia di UAE dan dikekalkan sebagai hak milik kerajaan serta dikendalikan oleh syarikat swasta Malaysia bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Hab ini akan beroperasi mengguna pakai konsep perkongsian awam-swasta di mana kedua-dua pihak iaitu kerajaan Malaysia dan syarikat swasta dapat menggunakan kemudahan pavilion tersebut sebagai platform untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi.

Penjenamaan Pavilion Malaysia sebagai Hab Teknologi dan Inovasi Malaysia mencerminkan cita-cita negara untuk menjadi sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global,” kata Dr. Adham Baba pada majlis penyerahan bangunan pavilion Malaysia di Dubai.

Satu Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Zainal Abidin Abu Hassan ditubuhkan bagi menilai keupayaan syarikat sebagai salah satu proses pemilihan syarikat. Antara kriteria utama pemilihan syarikat ialah mengetengahkan produk atau perkhidmatan baharu serta bertindak sebagai pemain industri dalam sektor strategik teknologi baharu seperti bandar pintar, logistik pintar, mobiliti pintar dan industri 4.0.

Aerodyne Group merupakan syarikat tempatan Malaysia yang merupakan pemain utama di peringkat global sebagai penyedia Perkhidmatan Dron nombor satu dunia telah dipilih untuk mengambil alih pengoperasian Pavilion Malaysia di UAE.

Program 5 Year Legacy Ekspo 2020 Dubai adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang kerajaan UAE untuk mengguna semula tapak acara expo untuk pembangunan komuniti yang berkonsepkan pelbagai guna yang dikenali sebagai District 2020 selepas berakhirnya Ekspo Dunia.

Skip to content