26 November 2022, Kuala Lumpur – Malaysia Techlympics 2022 kini tiba ke penghujungnya. Pada hari ini telah bermula Peringkat Akhir Kebangsaan yang telah di rasmikan oleh YBrs. Ts. Dr. K. Nagulendran, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) MOSTI.
Malaysia Techlympics ialah sebuah program flagship MOSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) sebagai agensi pelaksana yang berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) terbesar di Malaysia. Ia bertujuan merancakkan aktiviti STI negara melalui experiential learning untuk melengkapkan pembelajaran STI di peringkat pembudayaan sains perdana. Adalah menjadi hasrat MOSTI untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia khususnya golongan pelajar dan belia menjadikan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pilihan kerjaya masa hadapan dan seterusnya mengaplikasi pengetahuan mereka dalam kehidupan harian.
Pada peringkat akhir ini, wakil-wakil dari negeri-negeri seluruh Malaysia berentap bagi merebut gelaran juara dalam lima (5) tema utama tertumpu kepada bidang-bidang membabitkan Sains, Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Mikro-Komputer, Internet Benda (IoT), Robotik, Dron, Matematik, Reka Bentuk Kreatif dan Animasi serta Percetakan dan Pembangunan Tiga Dimensi (3D).
Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Luar Bandar (KPLB) dan wakil-wakil Kerajaan Negeri, Rakan Korporat dan Rakan Strategik kerana tanpa sokongan mereka, pastinya program ini tidak dapat berjalan dengan lancar.