Skip to main content
Berita

Malaysia Techlympics Diperluas Ke Zon Timur

2 Jun 2022, Kuala Terengganu – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim hari ini telah merasmikan Malaysia Techlympics Zon Timur di Auditorium Mahyuddin, Universiti Malaysia Terengganu, bagi menarik minat golongan pelajar dan belia dari Pantai Timur untuk menyertai inisiatif yang berteraskan inovasi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Program ini merupakan satu inisiatif pembudayaan STI yang bertujuan memupuk penciptaan idea berinovasi yang selaras dengan agenda Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi.

Setakat ini, seramai 100,000 rakyat Malaysia yang berusia di antara 7 hingga 30 tahun telah mendaftar untuk menyertai pelbagai jenis pertandingan dan sesi perkongsian STI yang akan diadakan sehingga bulan November.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) dan mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini menyasarkan 1 juta pendaftaran peserta dan 2,000 idea STI yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Datuk Haji Ahmad Amzad dalam ucapannya berkata, MOSTI memperluas jangkauan ke negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya Terengganu dengan tujuan memberi kesedaran mengenai program Malaysia Techlympics 2022 dalam kalangan pelajar, belia dan para pendidik di negeri itu.

“MOSTI ingin memastikan tiada sesiapa pun akan terlepas peluang keemasan untuk menyertai program berteraskan inovasi ini. Inisiatif ini sememangnya dirangka supaya bersifat inklusif agar lebih ramai golongan sasar mendapat peluang untuk turut terlibat menghasilkan produk inovasi menggunakan pendekatan tidak formal,” ujar beliau.

Sepanjang tempoh Malaysia Techlympics 2022, pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk sesi bengkel, webinar, kuiz dan sebagainya akan dijalankan secara dalam talian sebagai usaha melahirkan generasi inovator dan pencetus perubahan masa hadapan negara yang kompeten.

Antara program utama yang dilaksanakan adalah ‘Kuiz Superstar Sains’, ‘Sesi Tutorial Pengangkutan Masa Hadapan’, ‘Bengkel Belajar Dengan Arduino’, ‘Webinar Teknologi Masa Depan: Pengaturcaraan Robotik Maya’, ‘Simulasi Sains Penerbangan’, ‘Bengkel Matematik Praktikal untuk Pendidik’, ‘Webinar BYOD (Bina Reka Bentuk Anda Sendiri)’ dan mencipta animasi AR/VR.

Kebanyakan sesi diajar oleh golongan profesional, pengamal dan ahli akademik kerana Malaysia Techlympics 2022 memupuk budaya pembelajaran melangkaui bilik darjah. Turut diadakan adalah sesi pembelajaran rakan sebaya, pembentangan dan pameran oleh Ikon Inovator Muda.

Keluarga Malaysia dijemput menyertai Malaysia Techlympics dengan mendaftar melalui laman web www.techlympics.my. Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 15 Jun 2022.

Skip to content