Skip to main content
Berita

Malaysia Tegaskan Komitmen Dalam Industri Aeroangkasa Global di AeroMart Summit Kuala Lumpur 2025

10 Disember 2025, Kuala Lumpur – Malaysia sekali lagi menegaskan peranan serta komitmennya dalam industri aeroangkasa global yang kini menyaksikan landskap sektor ini dibentuk bukan sahaja oleh kemajuan teknologi, tetapi juga oleh perubahan rantaian bekalan, keutamaan global yang semakin berkembang serta keperluan mendesak untuk membina sistem yang lebih selamat, lebih bersih, lebih berhubung dan lebih berdaya tahan. Ini merupakan antara intipati ucapan YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), semasa merasmikan Aeromart Summit Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Dewan MATRADE.

Aeromart Summit Kuala Lumpur 2025 berfungsi sebagai platform strategik yang menghimpunkan pemimpin industri, inovator, jurutera dan syarikat terkemuka dunia, pada ketika sektor aeroangkasa global sedang melalui fasa transformasi yang pesat. YBhg. Datuk Seri KSU menegaskan bahawa masa depan industri ini sedang dibentuk oleh teknologi baharu, perubahan dalam rantaian bekalan serta keperluan untuk mewujudkan sistem penerbangan yang lebih selamat, bersih, bersambung dan tahan lasak.
Malaysia bukan sahaja menjadi tuan rumah, malah turut tampil sebagai penyumbang aktif dalam ekosistem aeroangkasa global melalui kekuatan negara dalam bidang kejuruteraan, pembuatan berteknologi tinggi, inovasi digital serta tenaga kerja yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kehadiran syarikat global di summit ini membuktikan keupayaan Malaysia memenuhi piawaian antarabangsa serta membina hubungan industri yang kukuh dan berdaya tahan.
Dalam hal ini, kerjasama antarabangsa amat penting bagi menangani cabaran baharu dan meneroka peluang masa depan, antaranya pembangunan bahan api penerbangan lestari (SAF), propulsi hidrogen, elektrifikasi, serta teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pembuatan aditif, robotik dan digital twin. Malaysia juga turut beraspirasi membangunkan industri aeroangkasa yang bukan sahaja besar dari segi skala, tetapi bernilai tinggi, dipercayai dan mempunyai keupayaan untuk berkembang bersama rakan-rakan global. Negara juga komited membuka lebih banyak peluang kepada jurutera dan juruteknik tempatan untuk bekerjasama dengan pakar antarabangsa dalam bidang reka bentuk, pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta inovasi digital.
MOSTI melalui MTDC komited untuk menjadikan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik dalam pembinaan inovasi dan pengukuhan jaringan kerjasama dalam industri aeroangkasa. Aeromart Summit Kuala Lumpur 2025 dijangka menjadi platform utama yang merintis kerjasama global serta memacu inovasi yang bakal membentuk era baharu dunia penerbangan.
Turut hadir, YBrs Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia(MTDC), YBrs Ts. Hj. Mohammad Hazani Hj. Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, YBrs En.Naguib Mohd Nor, Pengerusi Malaysia Aerospace Industry Association (MAIA), YBrs En.Abu Bakar Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE),YBrs Dr.Mohd Khalid Mohd Nor, Naib Presiden Kanan, Industry Development Division National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO) dan YBrs Cik. Ruiching Portier, Perancang Projek Asia, Advanced Bussiness Event (ABE) serta para jemputan.
Skip to content