Skip to main content
Berita

Malaysian Space Odyssey: 20 Tahun Bersama Planetarium Negara

By 2014-02-07Disember 14th, 2020No Comments

UKK_3668

 

Kuala Lumpur, 07 Februari – Agensi Angkasa Malaysia (ANGKASA MALAYSIA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan program Malaysian Space Odyssey: 20 Years With National Planetarium bersempena dengan   sambutan ulang tahunnya yang ke-20.

Program sebentar tadi telah dirasmikan oleh Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Datuk Dr Ewon Ebin dan turut hadir sama adalah Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (ANGKASA MALAYSIA), YBrs Dr Noordin Ahmad, Pengarah Bahagian Pendidikan Sains Angkasa merangkap Pengarah Planetarium Negara, Puan Azreena Ahmad, warga ANGKASA MALAYSIA dan MOSTI serta orang awam.

Planetarium Negara telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad pada 07 Februari 1994 bagi meningkatkan pemahaman dan pengetahuan orang ramai dalam bidang sains angkasa. Penubuhan Planetarium Negara juga merupakan asas kepada pembangunan bidang teknologi sains angkasa di Malaysia.

Sejak ditubuhkan, Planetarium Negara telah menerima hampir 5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara. Sepanjang 20 tahun penubuhannya, Planetarium Negara telah berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti kesedaran di kalangan masyarakat seperti National Space Challenge-Prime Minister’s Trophy, Pertandingan Pelancaran Teknologi Roket, pencerapan langit, syarahan umum

fenomena angkasa, pendidikan astronomi melalui fotografi, pameran bergerak, kem cuti sekolah, pembelajaran melalui Portal Pendidikan Sains Angkasa dan sebagainya.

Penubuhan Planetarium Negara sebagai pusat pendidikan sains angkasa juga telah berjaya menyuntik minat dan meningkat kesedaran masyarakat dalam bidang sains angkasa sehingga Malaysia berjaya membangunkan satelit TiungSAT dan RazakSAT.

Program-program kesedaran sains angkasa yang terancang dan berterusan ini juga turut menyumbang kepada kejayaan Program Angkasawan Negara pada tahun 2007. Usaha ini diterusan lagi dengan kerjasama negara Jepun melalui program-program pendidikan Eksperimen Sains Mikrograviti seperti program Try Zero G, Space Seed, Parabolic Flight, Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket peringkat Asia Pasifik dan sebagainya. Planetarium Negara juga turut menjadi pusat rujukan program-program pendidikan sains angkasa kepada negara-negara lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan sebagainya. Kerjasama dan perkongsian ide ini membantu untuk  menjalin dan mengukuhkan hubungan baik antara negara-negara dalam bidang sains dan teknologi angkasa.

Bagi meraikan sambutan Ulang Tahun kali ke-20 ini, Planetarium Negara telah menganjurkan sebuah program Malaysia Space Odyssey: 20th Years With National Planetarium bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai sejarah Planetarium Negara bermula dari 1994 hingga kini. Selain daripada itu Planetarium Negara turut menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik sepanjang hari kepada orang awam. Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah Astro Quiz, lawatan ke Balai Cerap, pencerapan Matahari, aktiviti Cookie Moon Phase, pameran Space Odyssey: 20 Years With National Planetarium, live streaming bersama Mantan Ketua Pengarah ANGKASA MALAYSIA, YBhg Datuk Dr Mazlan Othman dan juga Sesi Teh Tarik Talk berkenaan Fenomena Astronomi sepanjang tahun 2014 bersama Ketua Unit Penyelidikan Angkasa, ANGKASA MALAYSIA, En Mhd Fairos Asillam. ANGKASA MALAYSIA juga turut mengambil kesempatan ini untuk memberikan penghargaan kepada lapan (8) orang staf yang telah berkhidmat selama 20 tahun hingga 23 tahun di ANGKASA MALAYSIA.

Pada sambutan ini juga, para pengunjung telah diberikan kesempatan untuk menyaksikan tayangan baru bertajuk “We Are Astronomers” secara percuma. Tayangan ini memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kerjasama global, teknologi dan dedikasi yang diperlukan untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan yang masih belum terjawab tentang rahsia angkasa lepas. Bermula Sabtu, 8 Februari ini, tayangan “We Are Astronomer” boleh disaksikan di Teater Angkasa Planetarium Negara dengan bayaran RM6 dewasa dan RM4 kanak-kanak (dengan MyKad/MyKids)/RM12 dewasa dan RM8 kanak-kanak (tanpa MyKad/MyKid). Untuk sebararang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi 03-2273 4303.