Skip to main content
Berita

MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE 2024)

30 Julai 2024, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Malaysia Board of Technologists (MBOT) sedia memainkan peranannya sebagai peneraju dalam pembangunan bakat dalam sektor teknologi Malaysia.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapannya semasa merasmikan MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE 2024) mengatakan “Untuk memacu Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, adalah penting sekurang-kurangnya 35% tenaga buruh terdiri daripada individu berkemahiran tinggi. Menurut data Bank Dunia, Malaysia perlu mewujudkan sekurang-kuranya 2 juta pekerjaan berkemahiran tinggi tambahan. Pada masa ini, kita menghadapi kekurangan teknologi mahir profesional, dengan permintaan melebihi penawaran. Dengan mencapai sasaran ini akan merapatkan jurang dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk buruh mahir dalam sektor teknologi.
Berikutan itu, MOSTI telah memberi mandat kepada MBOT untuk menerajui inisiatif transformatif bertujuan untuk mempelbagaikan dan mempertingkatkan laluan pembangunan profesional dengan membangunkan rangka kerja yang komprehensif untuk akreditasi dan profesionalisasi kursus pendek dan kelayakan mikro berkaitan teknologi. Inisiatif ini adalah selaras dengan Dasar TVET Kebangsaan 2030.
MBOT juga telah mencatat satu lagi kejayaan gemilang di mana MBOT telah diterima sebagai Penandatangan Penuh Seoul Accord. Seoul Accord merupakan perjanjian pelbagai hala antara badan-badan yang bertanggungjawab memberikan akreditasi kepada program profesional dalam bidang pengkomputeran dan teknologi maklumat di peringkat akademik. Melalui MBOT, graduan IT dan pengkomputeran akan diiktiraf setaraf dengan negara penandatangan lain yang kebanyakannya negara maju, iaitu Australia, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan United Kingdom.
YB Tuan Chang Lih Kang, turut mengucapkan tahniah kepada MBOT atas pelancaran Pelan Strategik MBOT STRIVE (2024-2029). Pelan strategik ini sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang menggariskan enam teras utama untuk memajukan landskap teknologi Malaysia yang akan membimbing MBOT mencapai misinya dalam tempoh lima tahun akan datang dan mengukuhkan kepimpinannya dalam bakat pembangunan dan pengiktirafan profesional.
Sejak penubuhannya pada 2015, MBOT telah mendaftarkan hampir 90,000 profesional, komited untuk menyokong dan memajukan kepakaran teknologi dan teknikal.
ENTICE merupakan sebuah platform bertujuan untuk memupuk bakat dan menggalakkan keterangkuman dalam sektor teknologi, mewujudkan komuniti yang menyokong untuk ahli MBOT berkembang maju dan bekerjasama. Acara yang diadakan di Putrajaya hari ini telah menarik penyertaan lebih 500 ahli MBOT.
Skip to content