16 November 2026, Serdang – Tahniah kepada lima penerima Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2026 yang telah membuktikan kecemerlangan dalam bidang Biologi, Fizik, Kimia, Kejuruteraan dan Industri.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian luar biasa saintis muda negara dalam penyelidikan, pembangunan (R&D) serta penciptaan inovasi baharu.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa Malaysia bukan sekadar mahu menguasai ilmu dan teknologi, malah perlu berupaya menjana ilmu, mencipta teknologi dan membentuk masa depan melalui kekuatan pemikiran serta inovasi anak bangsa.
Anugerah Saintis Muda Negara diadakan sebagai pengiktirafan tertinggi negara kepada saintis berumur bawah 40 tahun yang menunjukkan pencapaian luar biasa dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penciptaan inovasi baharu dalam bidang Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Tenaga Boleh Diperbaharui, Teknologi Angkasa, Bahan Termaju (Advanced Materials), Pembangunan Vaksin, Unsur Nadir Bumi (Rare Earth Elements) dan Perubatan.
Seiring dengan aspirasi DSTIN 2021–2030 dan Rangka Kerja 10-10 MySTIE, MOSTI komited memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi negara, termasuk meneroka potensi teknologi termaju seperti Kecerdasan Buatan (AI) bagi mempercepat penemuan saintifik dan meningkatkan daya saing industri.




