08 Ogos 2025, Kelantan – Sempena Program Madani Rakyat 2025 Kelantan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Wad Kanak-Kanak, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan. YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI bersama YBhg. Datin Seri Roslina bint Mior Adlan, Pengerusi Puspanita Cawangan MOSTI diiringi YBrs. Pn Ruziah Binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI dan YBrs. Encik Abdullah bin Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan STI MOSTI telah berbesar hati meluangkan masa menyantuni pesakit-pesakit cilik ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, YBhg. Dato Dr. Zaini bin Hussin dan Pengarah HRPZ II, YBrs. Dr Izamin bin Idris.
Seramai lebih 60 pesakit dari dua (2) wad kanak-kanak HPRZ II telah diraikan menerusi persembahan robot Kancil dan disusuli dengan pemberian kit STEM bagi menceriakan hari mereka sambil menyemai minat awal terhadap sains dan teknologi. Program ini bukan sahaja bertujuan mencetuskan senyuman, malah menyemarakkan nilai kemanusiaan, inovasi dan inklusiviti dalam menyantuni golongan yang memerlukan.
MOSTI sentiasa komited untuk memastikan sains, teknologi dan inovasi dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, termasuk anak-anak kecil yang sedang dirawat di hospital.