Skip to main content
Berita

Mesyuarat Dua Hala Antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dan Jabatan Peguam Negara (AGC)

5 September 2024, Putrajaya – Penguatkuasaan penuh Akta 834 memerlukan huraian lanjut melalui penggubalan peraturan-peraturan yang menerangkan keperluan bagi pelaksanaan seksyen-seksyen berkaitan pelesenan, permit pelancaran, perakuan pelancaran, pendaftaran objek angkasa, siasatan insiden/ kemalangan angkasa dan lain-lain di bawah Akta 834.

Draf Peraturan-Peraturan ini telah melalui siri libat urus bersama beberapa pihak berkepentingan seperti kementerian/ agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, industri dan juga badan bukan kerajaan.
Draf ini akan diperkemaskan lagi melalui semakan aspek perundangan bersama pihak AGC. Justeru, Mesyuarat Dua Hala antara MOSTI dan AGC membincangkan dan meneliti draf peraturan meliputi aspek teknikal dan perundangan sebelum ianya dapat dikuatkuasakan.
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI turut hadir menyampaikan amanatnya pada mesyuarat kali ini. Antaranya adalah agar pihak AGC dapat memberikan keutamaan kepada proses semakan, gubalan dan pewartaan draf Peraturan-Peraturan ini untuk dikuatkuasakan sepenuhnya mengikut perancangan.
Melaluinya, aktiviti angkasa negara terutamanya yang menjadi permintaan oleh pihak industri melibatkan pelesenan, perakuan pelancaran dan permit pelancaran dapat dilaksanakan mengikut landasan kerangka perundangan domestik yang sistematik dan holistik.
Mesyuarat ini adalah signifikan dalam usaha dan komitmen MOSTI bagi menguatkuasakan sepenuhnya Akta 834 supaya urusan berkaitan aktiviti angkasa negara ini dapat dijalankan dengan teratur serta mencapai standard piawaian setara negara peneraju angkasa global.
Penguatkuasaan penuh Akta 834 juga adalah antara tuntutan penting badan perundangan negara sekiranya Malaysia bercadang untuk menyertai sebarang bentuk perundangan angkasa antarabangsa supaya ia dapat melindungi Malaysia daripada sebarang bentuk ancaman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan perlindungan liabiliti berkaitan mengikut kepentingan Negara.
Skip to content