24 Jun 2026, Lao PDR – Mesyuarat ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka ruang kerjasama baharu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi antara Malaysia dan Viet Nam. Perbincangan tertumpu kepada sekuriti makanan, sains dan teknologi angkasa lepas, kecerdasan buatan, pembangunan ekosistem syarikat pemula (startup), pengkomersialan hasil penyelidikan serta inisiatif penyelidikan bersama. Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai peralihan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen hijau serta potensi tenaga nuklear dalam menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang dan transformasi digital.
Penglibatan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa serta memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama pembangunan mampan, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran serantau.




