30 April 2026, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi dan Pemantauan Sains Negara (JKPSN) Bil. 1/2026 yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, bertempat di Bilik Persidangan ICU, Jabatan Perdana Menteri.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI bersama pengurusan tertinggi MOSTI. Turut hadir ialah Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian serta wakil daripada pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan yang berkaitan.
Tujuan utama mesyuarat adalah untuk meneliti kertas-kertas pertimbangan dan makluman sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) yang akan dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, pada 11 Mei 2026. Fokus perbincangan turut menjurus kepada cadangan-cadangan strategik bagi membantu negara mendepani cabaran semasa, khususnya dalam mengurangkan impak krisis tenaga terhadap ekonomi dan memacu ekonomi berasaskan inovasi melalui pendekatan sains, teknologi dan inovasi (STI).
Mesyuarat hari ini bersetuju mengemukakan 3 Kertas Pertimbangan dan 1 Kertas Makluman untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara akan datang.




