Skip to main content
Berita

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Vaksin Kebangsaan (NASCOV) Bil.1/2024

20 Mei 2024, Putrajaya – Satu Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Vaksin Kebangsaan (NASCOV) Bil.1/2024 telah dipengerusikan bersama YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dengan YB Datuk Seri Hj. Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan pada 17 Mei 2024 (Jumaat) bertempat di Bilik Gerakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Putrajaya.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan dan YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, serta pemegang taruh daripada Kementerian, Jabatan dan agensi yang terlibat di dalam ekosistem pembuatan, pembangunan dan penyelidikan vaksin. Antara ahli mesyuarat yang turut hadir adalah wakil daripada Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan agensi di bawah MOSTI iaitu National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM).
Mesyuarat yang julung kali diadakan ini, bertujuan untuk mempertingkatkan koordinasi di antara kementerian yang terlibat terutamanya antara MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperkasa dan memperkemaskan lagi pelaksanaan pelan tindakan Pelan Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) sejajar dengan keperluan negara. Mesyuarat ini diadakan secara berkala iaitu setahun sekali.
Selain pemakluman mengenai inisiatif dan program-program yang telah dan sedang dilaksanakan di Kementerian, jabatan, agensi dan institut yang berkaitan berdasarkan PPVN, antara intipati lain mesyuarat ini adalah untuk memaklumkan status pelaksanaan PPVN, status pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan pendanaan Penyelidikan serta perbincangan berkaitan pembangunan ekosistem vaksin manusia negara seiring dengan perkembangan global.
Pada mesyuarat tersebut, YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menggesa agar Kerajaan perlu bekerjasama rapat dengan pelbagai badan antarabangsa untuk membolehkan Malaysia mendapat akses kepada pembangunan vaksin, pemindahan teknologi dan kepakaran baharu kepada penyelidik tempatan sebagai langkah kesiapsiagaan terhadap pandemik penyakit berjangkit baharu.
PPVN yang telah dilancarkan pada 1 November 2021 lalu adalah bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun. MOSTI dan KKM telah diberi amanah untuk menerajui pelaksanaan PPVN ini. Pelan ini turut menyokong Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di bawah Teras Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan, dan juga Pelan Strategik MOSTI 2024 – 2030.
Skip to content