15 Oktober 2024, Putrajaya – Mesyuarat Kumpulan Kerja Sektoral Vaksin Malaysia 2024 (MVSWG 2024) telah diadakan pada 15 Oktober 2024 (Selasa) dan dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan YBhg. Dato’ Sri Suriani Dato’ Hj Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.
Turut hadir ke mesyuarat ini adalah YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Timbalan Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Puan Norhaliza binti A Halim dan YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), MOSTI. Ahli-ahli mesyuarat MVSWG ini terdiri daripada wakil daripada pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi yang terlibat dalam ekosistem pembangunan vaksin manusia.
Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan agenda dalam membangunkan ekosistem vaksin negara dan melaporkan pelaksanaan keseluruhan strategi dan inisiatif Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) 2021 – 2030. Antara intipati mesyuarat ini adalah berkenaan status pelaksanaan PPVN secara keseluruhan, R&D vaksin, penglibatan dalam kerjasama antarabangsa dan tempatan dalam pembangunan vaksin & pembangunan modal insan, serta pelaburan dalam pembangunan ekosistem vaksin Malaysia.