Skip to main content
Berita

Mesyuarat Majlis Bioetika Negara (MBeN) 2025

18 Ogos 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bioetika Negara (MBeN) Tahun 2025 di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kuala Lumpur. Mesyuarat ini merupakan platform penting bagi membincangkan isu-isu bioetika negara selaras dengan pelaksanaan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0). Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI.

Antara agenda utama mesyuarat kali ini adalah meneliti Garis Panduan Etika Bioteknologi di Malaysia yang akan menjadi rujukan utama dalam penyelidikan bioteknologi, bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip asas etika serta menggalakkan amalan bertanggungjawab dan berintegriti. Garis panduan ini bakal dilancarkan semasa ASEAN Bioethics Seminar 2025 pada 9 September 2025.
Mesyuarat MBeN menegaskan peranannya sebagai badan penasihat strategik kepada Kerajaan dalam merangka dasar, memperkukuh kesedaran masyarakat, serta membudayakan prinsip bioetika. Usaha ini bukan sahaja memastikan pembangunan bioteknologi negara berlangsung secara bertanggungjawab dan berintegriti, malah turut menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang bioteknologi dan etika sains selaras dengan agenda Malaysia Madani.
Skip to content