Skip to main content
Berita

Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan

18 November 2024, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan dua (2) program perdana Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) iaitu Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan serentak pada 17 – 18 November 2024 bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.

Karnival MSN menawarkan pelbagai pengisian interaktif seperti pameran berteraskan STI di reruai pameran, demonstrasi sains dan bual bicara yang berteraskan STI serta mengikut kesesuaian masyarakat setempat. Dengan sempurnanya penganjuran program pada kali ini, MOSTI telah menganjurkan sebanyak lapan ( 8 ) siri Karnival MSN di seluruh negara dengan jumlah pengunjung direkodkan seramai hampir 100,000 orang pengunjung.
Pada masa sama, pelaksanakan MSN secara pengisian aktiviti bulanan dan dalam talian yang bermula sejak bulan April 2024 dan berakhir pada penghujung bulan Oktober 2024 lalu telah mencatatkan hampir 2.4 juta penglibatan dari seluruh negara. Pelaksanaan Minggu Sains Negara pada tahun 2024 merupakan tahun yang ke-7 sejak dilancarkan pada tahun 2018. Ianya adalah komitmen MOSTI dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten dan berterusan.
Selain MSN, penganjuran Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan turut merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan. MOSTI komited dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif untuk memupuk minat para pelajar dan belia terhadap STI menerusi program Malaysia Techlympics. Antara teknologi yang sedang berkembang pesat adalah teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang banyak digunapakai dalam bidang perniagaan dan beberapa industri yang berkaitan.
Sehingga kini, program Malaysia Techlympics telah berjaya menarik 652,613 ribu penyertaan daripada seluruh negara sejak bermula bulan Julai 2024 yang lalu dengan penyertaan seramai lebih 2,000 orang peserta dari 538 pasukan melibatkan 232 pasukan sekolah rendah, 278 pasukan sekolah menengah dan 28 pasukan belia pada peringkat akhir kebangsaan 2024.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030. Pelan ini merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam usaha untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran STI secara besar-besaran di pelbagai peringkat.
Dalam majlis yang sama beliau turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Saintis Muda Negara yang merupakan pengiktirafan serta penghargaan MOSTI terhadap kerja dan pencapaian yang cemerlang oleh saintis muda dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) STI negara. Sebanyak lima (5) kategori utama Anugerah Saintis Muda Negara dipertandingkan, melibatkan kategori Biologi, Fizik, Kimia, Perubatan dan Kejuruteraan dengan jumlah hadiah wang tunai sebanyak RM20,000.00 bagi setiap kategori.
Hadir sama YB Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan dan YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Skip to content