30 Julai 2025, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama agensi pemacu startup negara, Cradle Fund Sdn. Bhd., telah menganjurkan secara bersama Pertandingan Akhir China-ASEAN Innovation and Entrepreneurship Competition (CAIEC) Kali Ke-3, dengan kerjasama Kementerian Sains dan Teknologi China (MOST China), China-ASEAN Technology Transfer Center (CATTC), ASEAN COSTI dan Sekretariat ASEAN yang berlangsung di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre.
Majlis Pembukaan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI. Pertandingan ini disertai oleh peserta-peserta dari negara-negara ASEAN serta China dan turut dihadiri oleh wakil-wakil pemimpin industri.
Komitmen Malaysia dalam acara berprestij ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan 𝘗𝘳𝘪𝘰𝘳𝘪𝘵𝘺 𝘌𝘤𝘰𝘯𝘰𝘮𝘪𝘤 𝘋𝘦𝘭𝘪𝘷𝘦𝘳𝘢𝘣𝘭𝘦 (PED) 2025 ASEAN yang bertajuk “𝘌𝘴𝘵𝘢𝘣𝘭𝘪𝘴𝘩𝘪𝘯𝘨 𝘈𝘚𝘌𝘈𝘕 𝘛𝘦𝘤𝘩𝘯𝘰𝘭𝘰𝘨𝘺 𝘚𝘵𝘢𝘳𝘵𝘶𝘱 𝘐𝘨𝘯𝘪𝘵𝘦” yang diterajui oleh MOSTI sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025.
MOSTI melalui Cradle Fund memainkan peranan utama dalam memperkukuh ekosistem startup serantau menerusi kerjasama strategik, pembangunan inovasi dan pemerkasaan usahawan teknologi. Penglibatan dalam CAIEC membuktikan kepimpinan Malaysia dalam memacu pertumbuhan inovasi inklusif dan mampan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Cradle Fund turut menghantar penyertaan startup Malaysia bagi bersaing dengan peserta-peserta dari negara-negara ASEAN dan China. Dua Syarikat tempatan iaitu Syarikat Etomal Biotech dan FELECTRON berjaya mara ke pertandingan akhir masing-masing di bawah kategori: Kumpulan Perusahaan dan Kumpulan Pasukan. Pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform mempamerkan idea-idea baharu, tetapi juga membuka peluang jaringan, pelaburan dan kerjasama rentas sempadan.
MOSTI yakin bahawa usaha ini akan terus memacu agenda transformasi digital dan pembangunan teknologi tinggi di Malaysia serta mengangkat potensi startup tempatan ke peringkat global.